Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 9 Sept (Bernama) -- Kapal frigat pelbagai guna terbaharu Indonesia, KRI Brawijaya-320 dengan 160 kru, tiba di Jakarta pada Isnin (8 Sept), sekali gus memperkukuh pertahanan maritim negara itu.
Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin, bersama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Agus Subiyanto dan Panglima Tentera Laut Laksamana Muhammad Ali mengalu-alukan ketibaan kapal itu, yang merupakan kapal perang pelbagai guna terbesar di Asia Tenggara, menurut kenyataan kementerian.
Frigat itu berlabuh di Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta Utara selepas menempuh pelayaran sejauh 9,189 batu nautika dari Itali dengan persinggahan di Turkiye, Mesir, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Sri Lanka.
Upacara penyerahan rasmi kapal pertama daripada dua frigat yang dibeli dengan kos keseluruhan US$1.25 bilion berlangsung pada 2 Julai di limbungan Fincantieri di Muggiano, iaitu antara syarikat pembinaan kapal tentera laut terkemuka dunia.
Frigat sepanjang 143 meter itu mampu mencapai kelajuan sehingga 32 knot dengan berat hampir 6,000 tan.
Ia dilengkapi sistem persenjataan canggih bagi menghadapi ancaman dari udara, laut, kapal selam serta peperangan elektronik.
Sjafrie menyifatkan kapal itu sebagai aset penting dalam strategi pertahanan maritim Indonesia, manakala kapal kedua, KRI Prabu Siliwangi-321 dijangka menyertai armada dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial