KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Vietnam serta menggalakkan kerjasama serantau bersama negara anggota ASEAN, kata Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai.
Dalam ucapannya pada majlis resepsi sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68, Hari Malaysia ke-62 dan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-92 di Hanoi, Vietnam, beliau berkata hubungan dua hala Malaysia dan Vietnam terus berkembang selepas termeterainya Perkongsian Strategik Komprehensif tahun lepas.
Beliau berkata perkongsian itu merangkumi kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, peralihan tenaga, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.
Duta itu turut menekankan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara sejak kebelakangan ini.
“Pada Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan kedua ke Hanoi, kali ini untuk menyampaikan ucapan khas di Forum Masa Depan ASEAN. Pada Mei, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh pula mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala kita,” katanya.
Bulan ini, beliau berkata Malaysia menjadi tuan rumah kepada Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam, Tran Thanh Man, di Kuala Lumpur untuk lawatan rasmi serta penyertaan dalam Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46.
“Timbalan Perdana Menteri Vietnam Tran Hong Ha turut menyertai delegasi peringkat tinggi ini, dan sebagai sebahagian daripada lawatannya, beliau akan menghadiri Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), pameran halal terbesar di dunia yang berlangsung di Malaysia. Lawatan ini menunjukkan tahap keyakinan dan keakraban yang menjadi asas hubungan Malaysia-Vietnam,” katanya.
Duta itu berkata 2025 menjadi tahun penting bagi kedua-dua negara, dengan Malaysia memegang Pengerusi ASEAN dan Vietnam meraikan ulang tahun ke-30 penyertaannya dalam ASEAN.
“Malaysia menganggap Vietnam sebagai rakan kongsi yang dipercayai, bersama negara anggota ASEAN lain, dalam komitmen kita terhadap Pemusatan ASEAN untuk mempromosi dan melindungi kepentingan rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial