DUNIA > BERITA

Malaysia, Vietnam Perkukuh Kerjasama Halal Melalui Taman Perindustrian, Majlis Halal ASEAN

19/09/2025 10:37 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Penubuhan taman perindustrian halal di Vietnam dan Majlis Halal ASEAN telah dikenal pasti sebagai bidang kerjasama baharu antara Malaysia dan Vietnam.

Timbalan Perdana Menteri Vietnam Tran Hong Ha menyambut baik inisiatif Malaysia, dengan menyatakan bahawa cadangan taman perindustrian halal itu akan memanfaatkan pengalaman Malaysia selama lima dekad dalam pensijilan halal, di samping kekuatan asas pertanian Vietnam.

Ha, yang dalam lawatan rasmi ke Malaysia sempena kehadiran Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam Tran Thanh Man di Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA-46), berkata Malaysia diiktiraf sebagai pelopor dalam pensijilan dan eksport halal.

“Saya berpendapat Malaysia mempunyai kedudukan yang sangat penting di dunia dari segi pengeluaran halal, bermula daripada pengeluaran sehingga eksport produk halal, dan boleh saya katakan ia adalah peneraju dalam bidang ini.

“Vietnam pula adalah kuasa besar dalam pengeluaran pertanian. Kami telah mengeksport sejumlah besar produk pertanian kami, contohnya beras, ke seluruh dunia bagi memastikan keterjaminan makanan untuk banyak negara,” katanya pada sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, pada Jumaat.

Dalam industri halal, Ha mengesahkan penyertaan Vietnam dalam Majlis Halal ASEAN yang akan dipimpin oleh Malaysia bersama negara jiran lain.

“Kami juga bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri bahawa di ASEAN, kita akan menubuhkan Majlis Halal ASEAN dengan Malaysia dan negara jiran lain sebagai peneraju.

Vietnam akan menyertai majlis ini supaya kita dapat menghasilkan produk halal dalam rantau ASEAN dengan pensijilan dan kualiti ASEAN untuk menembusi pasaran dunia,” katanya.

Ha turut menyifatkan hubungan Malaysia-Vietnam sebagai model persahabatan erat dan perkongsian kerjasama yang dipertingkatkan ke tahap tertinggi melalui Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Malaysia telah menikmati hubungan yang sangat mesra, dan ia menjadi model persahabatan dan kerjasama untuk pembangunan bersama di dunia. Vietnam dan Malaysia telah pun mencapai tahap tertinggi hubungan diplomatik, iaitu Perkongsian Strategik Komprehensif,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga membincangkan pengukuhan perdagangan dan pelaburan melalui pelan tindakan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

“Kita perlu meningkatkan kerjasama ini, contohnya meningkatkan jumlah perdagangan daripada US$10 bilion ketika ini kepada US$18 bilion dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Ha dan Zahid berkata pertemuan mereka selama 30 minit membincangkan antara lain pembangunan industri halal di kedua-dua negara, termasuk kesediaan Malaysia membantu republik itu membangunkan sektor halalnya melalui pensijilan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta latihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan