DUNIA > BERITA

Kapal Selam Nuklear Rusia Lancar Peluru Berpandu Di Laut Okhotsk

19/09/2025 05:23 PM

VLADIVOSTOK (Rusia), 19 Sept (Bernama-Xinhua) -- Dua kapal selam berkuasa nuklear Armada Pasifik Rusia berjaya melancarkan peluru berpandu jelajah semasa latihan laut di Laut Okhotsk, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan perkhidmatan akhbar armada itu pada Jumaat, kapal selam pelbagai guna Krasnoyarsk dan Omsk menembak peluru berpandu jelajah Oniks dan Granit ke arah sasaran laut yang ditetapkan lebih 250 kilometer jauhnya.

Data pemantauan menunjukkan ketiga-tiga peluru berpandu mengenai sasaran dengan tepat. Kapal permukaan dan unit penerbangan tentera laut Armada Pasifik turut dikerahkan untuk mengawal kawasan ujian semasa pelancaran itu.

Latihan menembak peluru berpandu itu adalah sebahagian daripada latihan perintah dan kakitangan yang dijalankan oleh Komando Bersama Angkatan Tentera di timur laut Rusia sejak 12 Sept. Latihan itu memberi tumpuan kepada usaha melindungi laluan laut di utara Lautan Pasifik serta mempertahankan garis pantai di wilayah Kamchatka dan Chukotka serta wilayah kepulauan berdekatan.

Armada itu berkata latihan tersebut dijalankan di bawah pelan latihan tentera laut Rusia dan berfungsi sebagai peringkat akhir latihan tempur bagi tempoh musim panas.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan