DUNIA > BERITA

Malaysia, China Perluas Perkongsian Melangkaui Perdagangan Ke Arah Asia Yang Lebih Terhubung

24/09/2025 09:25 PM

Daripada Rohani Mohd Ibrahim

BEIJING, 24 Sept (Bernama) -- Perkongsian Malaysia dan China kini bergerak melangkaui bidang perdagangan dengan menumpukan kepada pembentukan Asia yang lebih terhubung berteraskan kerjasama serantau serta hubungan rakyat dengan rakyat, kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Beliau berkata masa depan kedua-dua negara terletak pada usaha membangunkan rantaian bekalan yang merentasi Asia Tenggara hingga ke Eurasia, disokong oleh inisiatif seperti Jalur dan Laluan serta  Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Bersama-sama kita boleh memperjuangkan perdagangan berasaskan peraturan, mengharmonikan piawaian digital dan hijau, serta mewujudkan sebuah rantau ekonomi di mana barangan, perkhidmatan dan idea dapat bergerak dengan bebas,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis resepsi Hari Kebangsaan Malaysia di sini, pada Rabu.

Sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 1974, Norman berkata hubungan Malaysia-China terus berkembang kukuh, dengan lawatan peringkat tinggi yang kerap mencerminkan kerjasama kedua-dua negara yang mendalam.

Beliau berkata Malaysia,  bersedia untuk bekerjasama rapat dengan China dalam membina masa depan yang lebih baik buat rakyat kedua-dua negara.

Lawatan rasmi terkini pemimpin Malaysia ke China ialah kunjungan tujuh hari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof atas jemputan Kerajaan China, yang berakhir pada Selasa.

“Bagi Malaysia dan China, satu-satunya jalan ke hadapan ialah bergerak bersama. Malaysia bersedia untuk bekerjasama erat dengan rakan-rakan kami di China bagi membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat kedua-dua negara,” kata Norman.

Memandang ke hadapan, beliau menekankan bahawa kedua-dua negara mempunyai peranan penting dalam membawa kerjasama dua hala lebih dekat kepada rakyat.

Hubungan rakyat dengan rakyat ini, katanya, amat penting memandangkan Malaysia sedang bersiap sedia menyambut pelancong dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis resepsi Hari Kebangsaan Malaysia diserikan dengan suasana keMelayuan yang jelas, menampilkan muzik tradisional, tetamu dari China turut menari joget, serta hidangan pelbagai sajian tempatan termasuk “Pasemboq Aloq Staq”, Ayam Percik Pantai Timur, Nekbat dan Penjaram.

Timbalan Menteri Luar China Liu Bin hadir pada majlis itu yang turut dihadiri hampir 500 tetamu daripada komuniti diplomatik, persatuan perniagaan dan pelajar Malaysia, serta rakyat Malaysia yang menetap di Beijing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan