Daripada N. Kuvineshwaren
NEW DELHI, 26 Sept (Bernama) -- India perlu merebut peluang pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan untuk memperkukuh hubungan dengan negara Asia Tenggara, khususnya dalam bidang perdagangan dan kerjasama ekonomi.
Felo Kanan di Research and Information System for Developing Countries (RIS), Rajeev Kher berkata pergantungan India yang terlalu besar kepada Barat telah mengehadkan kemampuannya untuk memanfaatkan peluang dengan rantau ini.
Beliau menegaskan ekonomi India dan ASEAN saling melengkapi, justeru kerjasama perlu disusun semula pada ketika hubungan New Delhi-Washington terjejas akibat isu tarif.
“Masalahnya ialah India sentiasa berorientasikan Barat, dan apabila ia cuba melihat ke Timur, usaha itu tidak berlaku,” katanya kepada sekumpulan wartawan ASEAN di pusat RIS di sini, baru-baru ini.
RIS ialah kumpulan pemikir di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar India yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dasar mengenai isu ekonomi antarabangsa dan kerjasama pembangunan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini dijangka menjadi antara perhimpunan terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka antara pemimpin dunia yang hadir.
Rajeev, bekas Setiausaha Perdagangan India, berkata New Delhi perlu meluaskan perspektif perdagangannya dengan mengambil kira hubungan bersama ASEAN dan China.
“Anda tidak boleh melihat perdagangan ASEAN secara terasing. Perdagangan ASEAN perlu diteliti bersama dengan perdagangan India-China kerana banyak produk China mengalir ke ASEAN, bukan semata-mata sebagai jalan pintas, tetapi sebagai sebahagian daripada rantaian nilai dagangan.
Justeru, India perlu mengambil pendekatan lebih menyeluruh terhadap perdagangannya dengan Asia Tenggara dan China,” katanya.
Seramai 25 wartawan dari sembilan negara Asia Tenggara termasuk Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam kini berada di India dari 23 Sept hingga 2 Okt dalam lawatan anjuran Kementerian Hal Ehwal Luar India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial