DUNIA > BERITA

Myanmar Sertai Tenaga Nuklear Tajaan Rusia Untuk Modenkan Ekonomi

26/09/2025 03:55 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 26 Sept (Bernama) -- Myanmar sedang memperkukuh rancangan untuk membangunkan tenaga nuklear awam bagi memodenkan ekonominya yang terjejas akibat konflik dalaman serta bencana alam.

Kerajaan negara itu sedang memanfaatkan kepakaran nuklear Rusia untuk membina reaktor pertamanya, sebuah projek yang dilihat penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga di negara yang hampir separuh penduduknya masih kekurangan bekalan elektrik yang stabil.

Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkata Myanmar memerlukan tenaga nuklear untuk menyokong sektor-sektor ekonomi utama yang bakal memacu pertumbuhan negara, lapor media rasmi The Global New Light of Myanmar.

“Myanmar perlu membangunkan teknologi nuklear dan menggunakan tenaganya secara aman.

“Kami memerlukan sumber manusia mahir untuk membangunkan infrastruktur nuklear, seterusnya mengoptimumkan penggunaan tenaga nuklear dan teknologi radiologi dalam sektor tenaga, kesihatan, pertanian, penternakan, perindustrian serta pemuliharaan alam sekitar,” kata Min Aung Hlaing.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada bengkel “Youth and Future Myanmar — Science and Technology” di Moscow pada Khamis.

Myanmar menandatangani perjanjian dengan gergasi tenaga nuklear Rusia, Rosatom pada Mac lalu untuk membina sebuah loji tenaga nuklear modular kecil.

Di bawah kerjasama itu, Rosatom akan membantu membina loji tenaga nuklear darat berkapasiti 110 megawatt, dengan potensi dikembangkan hingga 330 megawatt.

“Perjanjian antara kerajaan mengenai pembinaan loji tenaga nuklear berskala kecil membuka laluan kepada Myanmar untuk mengakses tenaga yang mampu milik dan mampan.

“Langkah ini akan menjadi pemangkin kukuh kepada pertumbuhan ekonomi seterusnya, mewujudkan ribuan pekerjaan serta membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada majlis menandatangani perjanjian itu, menurut laman web Rosatom.

Myanmar berdepan kesukaran mengekalkan bekalan elektrik kerana infrastruktur tenaga yang terhad, sebahagiannya musnah akibat bencana alam dan konflik dalaman.

“Sektor tenaga di Myanmar kini berdepan situasi kritikal dengan kekangan bekalan yang teruk serta permintaan tinggi yang tidak dapat dipenuhi.

“Kebanyakan cabaran dalam sektor tenaga bersifat struktur, asas dan berkait rapat dengan ketidakstabilan politik, konflik serta keadaan makroekonomi,” menurut Bank Dunia dalam Myanmar Energy Sector Update pada 24 Jun.

Pada masa ini, campuran tenaga negara itu bergantung kepada hidroelektrik, solar, angin serta loji janakuasa arang batu dan gas.

Menurut Bank Dunia, jurang antara bekalan dan permintaan terus menjejaskan industri serta lebih 50 juta penduduk yang berdepan gangguan bekalan elektrik berulang, termasuk di bandar utama seperti Yangon dan Mandalay.

Kementerian Tenaga Elektrik memaklumkan pengeluaran elektrik harian tahun lalu melebihi 2,000 megawatt, namun sejak awal tahun ini telah jatuh di bawah paras terbabit, manakala purata permintaan nasional mencecah 4,400 megawatt sehari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan