DUNIA > BERITA

Lebih 4,000 Orang Melarikan Diri Dari Kordofan, Sudan Akibat Keadaan Tidak Selamat- PBB

31/12/2025 03:31 PM

KHARTOUM (Sudan) / ISTANBUL, 31 Dis (Bernama–Anadolu) -- Lebih 4,000 orang awam melarikan diri dari negeri Kordofan Selatan dan Kordofan Utara di selatan Sudan dalam tempoh tiga hari lepas  ekoran  peningkatan keadaan yang tidak aman, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB) itu melaporkan antara 1,500 hingga 2,500 orang melarikan diri dari Al-Kuweik di Kordofan Selatan, selain 375 orang dari Kadugli dan 495 lagi dari Dilling di negeri yang sama, dari 27 hingga 29 Disember.

Menurut IOM,  golongan yang melarikan diri itu bergerak ke pelbagai lokasi di negeri Kordofan Utara,  Kordofan Selatan dan White Nile.

Di Kordofan Utara, organisasi itu merekodkann 1,020 orang melarikan diri dari Kampung Um Taghirat dan Al-Markha di lokaliti Jebrat Al-Sheikh akibat keadaan keselamatan yang semakin merosot, sambil memaklumkan mereka melarikan diri ke Omdurman, di barat ibu negara Khartoum.

Pada Ahad, IOM mengumumkann 1,290 orang dari dua negeri berkenaan melarikan diri atas sebab yang sama.

Tiga negeri Kordofan iaitu Utara, Barat dan Selatan menyaksikan beberapa minggu pertempuran sengit antara tentera dan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), yang mendorong puluhan ribu orang melarikan diri.

Daripada 18 negeri di Sudan, RSF menguasai kesemua lima negeri di Wilayah Darfur di barat, kecuali beberapa bahagian utara Darfur Utara yang masih berada di bawah kawalan tentera.

Tentera pula menguasai sebahagian besar kawasan di baki 13 negeri di selatan, utara, timur dan tengah, termasuk ibu negara Khartoum.

Konflik antara tentera Sudan dan RSF yang bermula pada April 2023 mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.

--BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan