DUNIA > BERITA

Iran Tekad Pertahan Kedaulatan Dan Rakyat, Kata Duta

10/03/2026 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Iran bertekad untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi rakyatnya di tengah-tengah konflik ketenteraan yang sedang berlarutan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata Tehran memberi keutamaan untuk menamatkan peperangan itu secepat mungkin, namun sebagai sebuah negara berdaulat, "negara itu tidak mempunyai pilihan selain membalas apabila diserang".

"Insya-Allah. Kami (Iran) akan menyaksikan kemenangan dan Amerika serta Israel akan faham bahawa masa kini tidak sesuai untuk mereka menyerang mana-mana negara yang mereka mahukan," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di sini, pada Selasa.

Menurut Valiollah, sekurang-kurangnya 2,000 orang di Iran dengan majoritinya terdiri daripada kanak-kanak dan orang awam, terkorban dalam serangan ketenteraan AS-Israel di seluruh wilayahnya sejak konflik bermula pada 28 Februari lepas.

Antara yang terkorban termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei, lebih 150 pelajar sekolah perempuan, dan pegawai kanan tentera.

Mengenai pelantikan Mojtaba Khamenei, 56, anak kepada Ali Khamenei sebagai Pemimpin Agung yang baharu, Duta itu berkata berita itu disambut dengan penuh kegembiraan dan diraikan oleh rakyat.

Beliau berkata walaupun serangan terhadap Iran berterusan, aktiviti harian di negara itu berjalan seperti biasa, kecuali penutupan sekolah yang menyaksikan pelajar kini mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Ditanya mengenai serangan ke atas kemudahan minyak Iran pada hujung minggu lepas, beliau berkata: "Kami (Iran) mempunyai simpanan dan kami telah menguruskannya pada hari yang sama. Tiada masalah. Tiada masalah sama sekali."

Iran terlibat dalam krisis ketenteraan dengan AS-Israel sejak 28 Februari selepas kedua-dua pihak melancarkan serangan bersama terhadap Iran, menyasarkan infrastruktur awam, ketenteraan serta kemudahan nuklearnya.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan bertubi-tubi peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta kepentingan AS di negara-negara Teluk, yang seterusnya menjerumuskan rantau itu ke dalam kancah pergolakan dan mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan