BEIJING, 25 Mac (Bernama - CMG) — Menteri Luar China Wang Yi mengulangi pendirian Beijing bahawa semua isu hangat harus diselesaikan melalui dialog dan rundingan, bukan pendekatan kekerasan.
Beliau mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran, Seyed Abbas Araghchi mengenai situasi semasa di Asia Barat pada Selasa.
Wang berkata pendekatan berunding adalah lebih baik berbanding berkonflik. Ia selaras dengan kepentingan negara dan rakyat Iran, dan juga menggambarkan aspirasi masyarakat antarabangsa.
Beliau menyeru agar pihak-pihak terbabit merebut setiap peluang dan ruang untuk memulakan proses perdamaian.
Sementara itu, Araghchi menzahirkan penghargaan terhadap bantuan kemanusiaan yang dibekalkan China, serta harapan agar Beijing terus memainkan peranan positif dalam membantu menggerakkan perdamaian dan menamatkan serangan.
Beliau menegaskan bahawa Iran komited untuk mengakhiri perang secara menyeluruh, bukan gencatan senjata sementara.
Selat Hormuz kekal dibuka kepada semua kapal tetapi negara-negara yang berperang dengan Iran tidak dibenarkan melaluinya, kata beliau.
Araghchi turut meluahkan harapan agar langkah-langkah yang diambil oleh pihak terlibat akan membantu meredakan ketegangan, bukan meruncingkan situasi di rantau berkenaan.
–BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial