Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 15 April (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Thailand meraikan perayaan Songkran dengan perhimpunan yang melibatkan kakitangan warga Malaysia dan Thailand serta ahli keluarga mereka, mencerminkan hubungan erat dalam komuniti diplomatik.
Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata sambutan itu memberi peluang untuk memperkukuh semangat setiakawan dan memupuk pemahaman budaya yang lebih mendalam dalam kalangan kakitangan dalam suasana tidak formal.
“Majlis bermakna ini bukan sahaja masa untuk bergembira dan meraikan perayaan, tetapi juga waktu untuk muhasabah, pembaharuan dan menghargai warisan budaya Thailand yang kaya, sebagai negara tuan rumah kita,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Beliau menyatakan bahawa Songkran, yang melambangkan pembaharuan, kesyukuran dan kebersamaan, berakar umbi dalam budaya Thailand dan berfungsi sebagai acara bermakna untuk menghargai tradisi tempatan.
“Ia menyatukan kita sebagai satu komuniti, mengukuhkan hubungan serta memupuk sikap saling menghormati dan persefahaman dalam kalangan semua warga kedutaan,” tambahnya.
Wan Zaidi berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menggaji kira-kira 45 kakitangan warga Thailand yang membantu dalam operasi hariannya.
Sambutan itu menampilkan program ringkas tetapi bermakna, termasuk upacara tradisional Rod Nam Dam Hua, yang kakitangan dan ahli keluarga menuang air wangian ke tangan rakan sekerja senior sebagai tanda hormat serta memohon restu sempena tahun baharu.
Acara itu turut diserikan dengan aktiviti simbolik percikan air yang melibatkan anak-anak warga kerja, sekali gus menambah suasana kekeluargaan dalam sambutan berkenaan.
Songkran, Tahun Baharu tradisional Thailand yang disambut dari 13 hingga 15 April, disambut dengan perjumpaan keluarga, pemberian hormat kepada orang tua dan nenek moyang, serta pembersihan patung Buddha.
Perayaan yang diiktiraf UNESCO itu juga merupakan antara tarikan utama dalam kalendar pelancongan Thailand, menarik pelawat dari seluruh dunia untuk menyertai sambutan percikan air yang meriah sebagai lambang warisan budaya negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial