WASHINGTON, 21 April (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Buruh Amerika Syarikat (AS) Lori Chavez-DeRemer akan meletak jawatan bagi menyertai sektor swasta, lapor Anadolu Ajansi memetik Rumah Putih pada Isnin.
“Beliau telah melaksanakan tugas dengan cemerlang menerusi peranannya dalam melindungi pekerja Amerika, melaksanakan amalan buruh yang adil serta membantu rakyat Amerika memperoleh kemahiran tambahan untuk meningkatkan kehidupan mereka,” kata Pengarah Komunikasi Rumah Putih Steven Cheung di platform media sosial X.
Cheung berkatanKeith Sonderling akan mengambil peranan sebagai pemangku setiausaha buruh.
Bekas ahli Kongres Oregon itu ketika pendengaran pengesahannya tahun lalu berikrar untuk memperjuangkan nasib pekerja Amerika serta perniagaan yang memacu ekonomi AS.
“Bagi membina semula keyakinan dan memperkukuh tenaga kerja kita, kita mesti melabur dalam laluan pendidikan melangkaui ijazah tradisional empat tahun, dengan memastikan setiap pekerja Amerika mempunyai akses kepada kemahiran dan latihan untuk kejayaan jangka panjang,” katanya.
Chavez-DeRemer berkata beliau percaya undang-undang buruh perlu dikemas kini dan dimodenkan agar selari dengan tenaga kerja serta persekitaran perniagaan masa kini.
Peletakan jawatannya menjadikan Chavez-DeRemer setiausaha Kabinet pentadbiran Trump ketiga yang meletak jawatan sejak Mac, selepas Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem pada Mac dan Peguam Negara Pam Bondi awal bulan ini.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial