ISTANBUL, 26 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membatalkan perjalanan utusan khas Steve Witkoff dan penasihat Jared Kushner ke Pakistan untuk berbincang (rundingan damai) dengan pegawai Iran, menurut laporan media pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Saya telah memberitahu pegawai saya tadi semasa mereka sedang bersiap sedia untuk pergi, dan saya berkata, 'Tidak, anda tidak membuat penerbangan 18 jam untuk pergi ke sana. Kita mempunyai semua kelebihan.
"Mereka boleh menghubungi kita pada bila-bila masa yang mereka mahu, tetapi anda tidak akan membuat penerbangan 18 jam lagi untuk duduk-duduk bercakap tentang apa-apa," kata Trump kepada Fox News menerusi panggilan telefon.
Secara berasingan, Trump juga memberitahu Axios melalui telefon bahawa beliau melihat "tiada gunanya menghantar mereka dalam penerbangan 18 jam," sambil menambah bahawa "Kita juga boleh melakukannya menerusi panggilan telefon.
“Pihak Iran boleh menghubungi kami jika mereka mahu. Kami tidak akan melakukan perjalanan hanya untuk duduk di sana."
Apabila ditanya sama ada ia bermakna beliau akan meneruskan perang, Trump memberitahu Axios: "Tidak. Ia tidak bermakna begitu. Kami belum memutuskan perkara itu lagi."
Pusingan pertama rundingan diadakan di Islamabad dua minggu lepas namun gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik yang bermula pada 28 Feb dan melanda seluruh Timur Tengah.
Rundingan itu diadakan selepas Pakistan menjadi perantara gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, yang kemudiannya dilanjutkan oleh Trump.
Iran yang enggan berbincang secara langsung dengan AS berkata kepentingan mereka akan disampaikan menerusi Pakistan.
Beberapa perkara yang berbangkit ialah berkaitan Selat Hormuz, sekatan AS terhadap pelabuhan Iran dan uranium diperkaya Iran.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial