DUNIA > BERITA

Israel Cadang Batal Perjanjian Oslo Ketika Krisis Gaza Terus Meruncing

12/05/2026 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Israel dilaporkan mencadangkan pembatalan beberapa perjanjian utama dengan Palestin termasuk Perjanjian Oslo, ketika serangan ketenteraan dan sekatan bantuan kemanusiaan terus memburukkan keadaan di Gaza dan Tebing Barat.

Menurut laporan situasi mingguan Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Palestin, anggota parti sayap kanan ekstrem “Otzma Yehudit / Jewish Power” yang dipimpin oleh Itamar Ben-Gvir telah mencadangkan satu rang undang-undang Israel  untuk memansuhkan Perjanjian Oslo, Protokol Hebron dan Memorandum Sungai Wye.

Laporan itu berkata menurut draf rang undang-undang itu, semua perjanjian yang ditandatangani antara Israel, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Nasional Palestin akan dimansuhkan sepenuhnya dan tidak lagi mengikat negara (Israel) atau mana-mana entiti yang bertindak bagi pihaknya.

Jelasnya, cadangan itu turut merangkumi pemansuhan undang-undang yang digubal bagi melaksanakan kerangka Oslo serta mengembalikan status perundangan dan pentadbiran yang wujud sebelum perjanjian tersebut ditandatangani.

Rang undang-undang itu dijadual dibincangkan di hadapan Jawatankuasa Menteri bagi Perundangan Knesset sebelum Perdana Menteri Israel dilaporkan meminta penangguhannya.

Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan pihak berkuasa Palestin, Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur dibahagikan kepada tiga bahagian - Kawasan A, B dan C - dengan kawasan C di bawah pentadbiran dan keselamatan Israel sehingga perjanjian akhir dengan Palestin dicapai, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan itu memaklumkan pencerobohan berterusan Israel ke atas Gaza terus memberi kesan buruk terhadap wanita, khususnya ibu hamil, ibu kepada anak kecil dan pesakit kronik termasuk penghidap kanser.

Menurut laporan itu, kadar kematian ibu di Gaza meningkat sebanyak tiga kali ganda sepanjang genosid, manakala kebuluran dan kekurangan zat makanan yang disebabkan oleh Israel memberi kesan khusus terhadap wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Selain itu, kekurangan bekalan perubatan dan makanan terus meruncing di Gaza dengan sumber perubatan melaporkan bahawa pesakit talasemia kini berdepan keadaan yang mengancam nyawa akibat kekurangan ubat-ubatan dan bekalan darah, selain kemusnahan perkhidmatan kesihatan dan pusat rawatan.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa kekurangan bekalan roti yang serius dan kenaikan mendadak harga tepung di seluruh Gaza memaksa rakyat Palestin yang dipindahkan menunggu dalam barisan panjang di luar kedai roti disokong oleh Program Makanan Sedunia (WFP).

Memasuki hari ke 213 sejak perjanjian gencatan senjata pada Oktober lepas, Israel telah membunuh 854 rakyat Palestin, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan angka korban kepada 72,740 orang termasuk sekurang-kurangnya 21,283 kanak-kanak dan 172,555 cedera sejak 7 Okt, 2023 di Semenanjung Gaza.

Di Tebing Barat pula seramai 1,160 orang termasuk 242 kanak-kanak dilaporkan terkorban, 12,245 cedera dan lebih 9,600 ditahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan