DUNIA > BERITA

China Sokong Usaha Pakistan Wujudkan Rundingan Dalam Perang AS-Iran

13/05/2026 04:12 PM

BEIJING, 13 Mei (Bernama-CMG) -- China menghargai usaha pengantaraan Pakistan dalam perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran, yang bertujuan mewujudkan rundingan serta melanjutkan tempoh gencatan senjata sementara antara pihak terlibat.

Beijing berharap Pakistan akan terus memperkukuh keyakinan dan meningkatkan usaha yang diperlukan yang dipercayai boleh menyumbang kepada penyelesaian isu pembukaan semula Selat Hormuz dan memulihkan keamanan serantau dengan segera, selaras dengan harapan masyarakat antarabangsa. 

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Luar China, Wang Yi semasa perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Muhammad Ishaq Dar pada Selasa.

"Beberapa hari lagi, China dan Pakistan akan menyambut ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik, dan kedua-dua pihak perlu bersama-sama menganjurkan aktiviti peringatan dengan baik, dan memajukan Perkongsian Strategik Sepanjang Masa China-Pakistan ke tahap baharu," kata Wang. 

Beliau menambah bahawa dalam mendepani keadaan dunia yang penuh dengan kekacauan dan pergolakan, Beijing dan Islamabad perlu terus menyuarakan keadilan di platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain bersama-sama mempertahankan amalan multilateralisme. 

Sementara itu, Dar berkongsi perkembangan terkini mengenai usaha pengantaraan bagi mewujudkan rundingan antara Iran dengan AS.

Beliau berkata Pakistan menghargai sokongan China terhadap usaha negara itu dalam menggalakkan dialog dan berharap dapat terus memperkukuh koordinasi serta kerjasama dengan Beijing bagi memainkan peranan positif dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau. 

"Pakistan bersedia menjadikan ulang tahun ke-75 ini sebagai satu peluang untuk memperdalam kerjasama menyeluruh dengan China, meningkatkan penyelarasan pelbagai hala serta memajukan Perkongsian Strategik Sepanjang Masa Pakistan- China ke tahap yang baharu," kata Dar. 

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan