Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penyewa Premis PBT N.Sembilan Dapat Pengurangan Sewa 20 Peratus Tujuh Bulan

13/05/2026 05:44 PM

SEREMBAN, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju memberikan pengurangan kadar sewa sebanyak 20 peratus kepada semua penyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu dari Jun hingga Disember tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pengurangan kadar sewa tujuh bulan itu melibatkan Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Perbandaran Jempol, Majlis Daerah Tampin, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Rembau dan Majlis Daerah Jelebu.

“Kita bersetuju mengurangkan sebanyak 20 peratus kepada penyewa di premis PBT seluruh daerah negeri ini melibatkan 5,199 unit premis dengan kos RM1.4 juta,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Aminuddin berkata langkah itu diambil bagi membantu meringankan beban penyewa serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata tugasan portfolio yang kosong ketika ini akan dipangku oleh Exco sedia ada dengan perkara itu akan dimaklumkan pada minggu depan.

Sebelum ini, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional hilang kepercayaan kepada Menteri Besar sehingga menyebabkan empat Exco dalam kerajaan negeri hilang jawatan.

Ad Banner
Ad Banner

Mereka ialah Exco Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa dan Perladangan dan Komoditi, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Jalaluddin Alias. 

Selain itu, Exco Pendidikan dan Modal Insan Datuk Ismail Lasim, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mustapha Nagoor serta Exco  Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Datuk Mohd Faizal Ramli.

Pada perkembangan lain, Aminuddin berkata Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mengukuhkan aspek prestasi sains sukan melalui kerjasama rasmi dengan jenama nutrisi tempatan NE-G sebagai rakan gel tenaga rasmi kelab selama tiga tahun.

Pengerusi NSFC itu berkata melalui perjanjian strategik itu, NE-G akan membekalkan sokongan nutrisi tenaga kepada skuad utama yang sangat diperlukan pemain bagi memberikan stamina maksimum.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan