| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
BEIJING, 14 Mei (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Sebelum memulakan rundingan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Beijing, Presiden China Xi Jinping menyatakan kegembiraan beliau dapat bertemu dengan pemimpin AS itu di ibu negara China, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Tuan Presiden Trump yang dihormati, saya amat sukacita dapat bertemu dengan anda di Beijing," kata Xi pada Khamis.
Beliau berkata hubungan China-AS yang stabil memberi manfaat kepada seluruh dunia, manakala kerjasama antara kedua-dua pihak mampu menguntungkan kedua-dua negara.
"Kedua-dua pihak harus bekerjasama dan menjadi rakan kongsi, bukannya seteru, bagi mencapai kejayaan serta kemakmuran bersama, selain membuka jalan bagi interaksi yang wajar antara kuasa-kuasa besar dalam era baharu ini," katanya.
Xi turut menekankan kepentingan mengelakkan “Perangkap Thucydides” dalam hubungan antara Beijing dan Washington.
"Sama ada China dan AS mampu mengatasi apa yang dipanggil sebagai Perangkap Thucydides dan mewujudkan model baharu hubungan antara kuasa besar... ini adalah persoalan yang dikemukakan oleh sejarah, dunia dan rakyat," kata Xi.
Beliau berkata perubahan yang tidak pernah disaksikan dalam tempoh seabad lalu kini semakin rancak, selain situasi antarabangsa yang penuh dengan ketidaktentuan meletakkan dunia di persimpangan jalan yang baharu.
Istilah Perangkap Thucydides merujuk kepada kecenderungan ke arah peperangan apabila kuasa besar yang sedang muncul mengancam untuk menggantikan kuasa besar sedia ada.
Istilah ini juga sering digunakan untuk menggambarkan hubungan antara kuasa besar dunia, AS dan kuasa besar yang sedang meningkat naik di persada antarabangsa, China.
"Saya sentiasa percaya bahawa kepentingan bersama antara China dan AS adalah lebih besar berbanding perbezaan yang wujud, dan kejayaan setiap pihak adalah peluang bagi pihak yang satu lagi.
"Fakta telah berulang kali membuktikan bahawa tiada pemenang dalam perang dagang," kata Xi seperti yang dipetik oleh China Central Television.
Beliau menegaskan bahawa intipati hubungan perdagangan dan ekonomi China-AS adalah manfaat bersama, dan rundingan secara saksama adalah satu-satunya pilihan yang tepat sekiranya berlaku perselisihan.
Sementara itu, Presiden Donald Trump menyifatkan Presiden Xi sebagai seorang pemimpin yang hebat.
“Anda seorang pemimpin yang hebat. Saya mengatakannya kepada semua orang. Kadangkala orang tidak suka saya mengatakannya, tetapi saya tetap mengatakannya kerana ia adalah benar. Saya hanya menyatakan kebenaran,” kata Trump dalam pertemuan itu.
Trump berkata menjadi satu penghormatan baginya untuk bersama Presiden China itu dan menyatakan bahawa AS serta China sentiasa berjaya mengatasi kesulitan disebabkan hubungan peribadi beliau dengan Xi.
“Apabila ada masalah, kami akan menyelesaikannya dengan cepat melalui panggilan telefon antara kami tanpa diketahui oleh orang lain,” katanya ketika pertemuan di Dewan Besar Rakyat di Beijing.
Beliau juga berkata AS akan menjalankan perniagaan dengan China atas dasar timbal balik sepenuhnya.
“Dan hari ini ahli perniagaan AS hadir di sini untuk memberi perhormatan kepada anda dan China, dan mereka berharap untuk berdagang dan menjalankan perniagaan, dan ia akan menjadi tindakan timbal balik sepenuhnya bagi pihak kami, “ kata Trump semasa pertemuan dengan Xi.
Trump berkata beliau berharap AS dan China akan menikmati masa depan yang hebat.
Dua pemimpin itu mengadakan rundingan sempena lawatan negara Trump ke China yang berlangsung dari 13 hingga 15 Mei.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial