KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Sidang kemuncak baru-baru ini antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping menandakan langkah positif ke arah menstabilkan hubungan antara dua ekonomi terbesar dunia di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin memuncak, kata seorang ahli akademik.
Dr Lee Pei May dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata ketiadaan peningkatan ketegangan susulan sidang kemuncak pada 14 hingga 15 Mei di Beijing itu sendiri merupakan hasil yang signifikan bagi kedua-dua negara serta ekonomi global.
“Saya fikir secara keseluruhannya hasilnya kelihatan baik dan cukup memberangsangkan. Hakikat bahawa tiada peningkatan ketegangan antara kedua-dua kuasa besar itu sebenarnya merupakan petanda baik bukan sahaja untuk kedua-dua negara tetapi juga ekonomi global,” katanya dalam program “The Nation” di Bernama TV pada Isnin.
Lee berkata sidang kemuncak itu mencapai objektif yang disasarkan untuk memperbaiki hubungan antara Washington dan Beijing, dengan merujuk kepada pengumuman susulan mengenai kerjasama dalam perdagangan, teknologi dan daya tahan rantaian bekalan.
Beliau berkata nada yang ditampilkan kedua-dua pemimpin semasa sidang kemuncak itu nyata lebih mesra dan hangat berbanding pertemuan singkat mereka pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Korea tahun lepas.
“Presiden Trump turut merujuk kepada hubungan sejarah yang mendalam antara kedua-dua negara, serta rasa hormat bersama yang telah lama terjalin. Presiden Xi juga mengakui bahawa kedua-dua negara perlu bekerjasama dan bukannya terlibat dalam konfrontasi,” katanya.
Lee yang juga Penolong Profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani UIAM berkata mesej sedemikian penting pada ketika persekitaran politik antarabangsa kekal sangat tidak menentu susulan pertikaian perdagangan dan konflik serantau yang masih berterusan.
Beliau berkata pengesahan semula gencatan perdagangan antara kedua-dua negara akan membantu memulihkan keyakinan pelabur dan perniagaan di seluruh dunia, yang sebelum ini menangguhkan pelaburan akibat ketidaktentuan berpunca daripada tarif dan ketegangan geopolitik.
“Terdapat pengesahan bahawa mereka akan terus mengekalkan gencatan perdagangan, dan ia amat penting bagi ekonomi global.
“Tujuan sidang kemuncak ini sebenarnya adalah untuk menstabilkan hubungan dan mungkin menetapkan hala tuju hubungan AS-China pada masa depan,” katanya.
Lee turut menekankan mekanisme yang dicadangkan seperti Lembaga Perdagangan AS-China dan Lembaga Pelaburan AS-China sebagai platform penting untuk mengurus pertikaian serta memudah cara dialog mengenai isu perdagangan dan pelaburan.
Beliau berkata Lembaga Perdagangan itu berkemungkinan memberi tumpuan kepada pengurangan tarif bagi barangan tidak sensitif, manakala Lembaga Pelaburan boleh membantu menyelesaikan isu akses pasaran dan pertikaian perniagaan.
Mengulas implikasi geopolitik yang lebih luas, Lee berkata hubungan yang bertambah baik antara Washington dan Beijing akan memberi negara seperti Malaysia lebih fleksibiliti diplomatik ketika persaingan antara kuasa besar semakin sengit.
“Malaysia, kita merupakan sebuah negara yang berpegang teguh kepada sikap berkecuali, dan ia telah lama menjadi dasar kita untuk kekal berkecuali serta tidak memihak,” katanya.
Beliau menambah hubungan yang lebih mesra antara AS dan China boleh mengurangkan tekanan terhadap negara lebih kecil yang sering berdepan keperluan mengimbangi kepentingan geopolitik yang bersaing.
Katanya, nada sederhana yang ditampilkan kedua-dua pemimpin semasa sidang kemuncak itu menunjukkan wujud persefahaman bersama bahawa ketegangan tidak seharusnya dibiarkan terus meningkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial