DUNIA > BERITA

Perang AS-Israel Terhadap Iran Akan ‘Berakhir Tidak Lama Lagi’ - Trump

23/05/2026 08:54 AM

WASHINGTON, 23 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Donald Trump pada Jumaat memberi bayangan bahawa perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran dijangka akan berakhir dalam masa terdekat, lapor Anadolu Ajansi.

“Kami telah menghentikan mereka. Mereka tidak akan memiliki senjata nuklear buat selama-lamanya. Mereka tidak akan memiliki senjata nuklear. Dan kami akan menamatkan perkara itu tidak lama lagi. Ia akan berakhir tidak lama lagi,” kata presiden AS itu kepada para penyokongnya di negeri New York.

“Anda akan menyaksikan angka yang belum pernah dilihat sebelum ini, termasuk dari segi pertumbuhan dan penurunan kos. Harga kereta juga dijangka turun,” katanya.

Terdahulu pada Jumaat, agensi berita Iran melaporkan bahawa satu delegasi Qatar sedang mengadakan rundingan dengan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi di Tehran dalam usaha menamatkan perang itu menerusi pengantaraan Pakistan.

Laporan itu muncul selepas ketua tentera Pakistan, Fil Marsyal Asim Munir tiba di Tehran sebagai sebahagian daripada usaha pengantaraan berterusan Islamabad untuk menamatkan perang itu. Ia merupakan lawatan kedua Munir ke Tehran bagi tujuan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Pakistan Mohsin Naqvi pula berada di Tehran sejak dua hari lalu sebagai sebahagian daripada rundingan tidak langsung antara AS dan Iran.

Aktiviti diplomatik yang rancak itu berlaku ketika laporan menyebut para perunding semakin menghampiri persetujuan untuk menamatkan perang berkenaan.

Islamabad turut mempergiat proses pengantaraannya bagi memastikan pusingan kedua rundingan langsung antara kedua-dua pihak dapat diadakan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan