SEOUL, 28 Mei (Bernama-Yonhap) -- Tiga aktivis Korea Selatan yang ditahan dan kemudian dibebaskan ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza bulan ini mendakwa pada Khamis yang mereka mengalami penderaan seksual dan fizikal oleh tentera Israel, lapor Agensi Berita Yonhap.
Warganegara Korea Selatan Kim Ah-hyun dan Kim Dong-hyeon bersama-sama Jonathan Victor Lee warga Amerika Syarikat berketurunan Korea, membuat dakwaan itu dalam sidang media beberapa hari selepas tiba di Seoul susulan pembebasan mereka minggu lepas.
Ketiga-tiga mereka menaiki dua bot bantuan berasingan menuju ke Gaza sebelum dipintas dan ditahan oleh tentera Israel. Beberapa dakwaan penderaan itu pernah dibangkitkan sebelum ini, namun Kedutaan Israel di Seoul menafikan aktivis berkenaan ditahan atau dilayan secara buruk.
“Golongan lelaki diseksa menggunakan Taser, manakala wanita diganggu dan dicabul secara seksual,” kata Kim Ah-hyun mengenai individu yang turut menyertainya dalam misi itu.
“Kami boleh mendengar bunyi tentera mengejek dan memberi arahan serta bunyi aktivis dipukul. Jeritan itu berlarutan begitu lama sehingga terasa sesak nafas.”
Beliau berkata seorang kelasi ditembak di paha tetapi dibiarkan tanpa rawatan, manakala kontena tempat mereka ditahan “dipenuhi individu yang mengalami patah tulang” tanpa menerima sebarang rawatan perubatan.
Kim Dong-hyeon turut menggambarkan keadaan ngeri semasa mereka ditahan dengan beliau mendengar bunyi orang diseksa dan “penderaan seksual berterusan”.
“Kami dipukul berkali-kali selama lima hingga 10 minit dan tangan kami yang diikat menggunakan pengikat kabel sentiasa berdarah,” katanya.
Lee turut memberikan gambaran serupa mengenai kejadian itu.
Ramai dipaksa menyaksikan rakan mereka dipukul dan mengalami kecederaan serius akibat bom denyar dan peluru “beanbag”, katanya. Lee sendiri mendakwa tulang rusuknya patah akibat dipukul dan terkena renjatan elektrik daripada tentera.
Semasa sidang media yang diadakan di Green Hospital itu, Pengarah Hospital Im Sang-hyuk berkata pemeriksaan perubatan mendapati Kim Dong-hyeon mengalami rabdomiolisis, Kim Ah-hyun mengalami gegendang telinga pecah manakala Lee mengalami patah tulang rusuk dan lebam akibat Taser.
Kim Ah-hyun sebelum ini pernah ditahan tentera Israel pada Oktober ketika cuba memasuki Gaza tanpa kebenaran dan pasportnya dibatalkan oleh kerajaan Korea Selatan.
Beliau berkata beliau dijadual menjalani sesi temu bual dengan peguam dan pegawai Kementerian Luar pada Selasa sebelum memohon pasport baharu.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial