DUNIA > BERITA

Israel Rancang Luaskan ‘Garisan Kuning’ Di Gaza

05/06/2026 12:08 PM

GAZA, 5 Jun (Bernama-Anadolu) -- Penduduk Palestin yang tinggal berhampiran kawasan dikenali sebagai “garisan kuning” di Gaza bimbang ruang yang masih boleh didiami orang awam semakin mengecil dan tidak lagi sesuai untuk kehidupan, susulan rancangan Israel untuk meluaskan kawasan yang berada di bawah kawalannya kepada 70 peratus daripada wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Garisan kuning” merujuk sempadan yang memisahkan kawasan di timur Gaza yang dikawal tentera Israel dengan kawasan di bahagian barat yang masih boleh diakses penduduk Palestin.

Khamis lepas, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengakui tentera Israel kini menguasai kira-kira 60 peratus wilayah Gaza dan mendedahkan rancangan untuk meningkatkan penguasaan itu kepada 70 peratus.

Sejak 20 Okt tahun lepas, Israel meletakkan blok konkrit berwarna kuning di sepanjang garisan itu yang diwujudkan selepas pengunduran pertama tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza susulan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa awal bulan berkenaan.

Di kawasan berhampiran garisan itu di timur Khan Younis, penduduk berkata kehadiran kereta kebal Israel, jentolak dan tembakan hampir setiap hari mengubah kehidupan mereka menjadi satu perjuangan berterusan untuk terus hidup.

“Tiada lagi tempat untuk kami pergi. Orang ramai sudah terperangkap dalam kawasan yang amat kecil,” kata penduduk Palestin Abdullah al-Astal kepada Anadolu.

Al-Astal yang tinggal berhampiran garisan itu berkata kereta kebal Israel sering mengiringi jentolak yang merobohkan rumah di kawasan berdekatan, manakala tembakan daripada kenderaan tentera dan dron hampir tidak pernah berhenti.

“Pada bila-bila masa kami boleh ditembak atau terbunuh,” katanya sambil menunjukkan beberapa rumah berhampiran yang penduduknya cedera akibat tembakan tentera Israel.

Penduduk dan rakyat Palestin yang dipindahkan bimbang sebarang peluasan lanjut kawasan itu akan menyebabkan ratusan ribu orang awam terpaksa tinggal di kawasan yang lebih sempit dan sesak selepas berulang kali dipindahkan.

“Jika garis kuning ini terus diperluas, ke mana lagi orang ramai hendak pergi? Tiada lagi tempat yang selamat di Gaza,” kata Al-Astal.

Ratusan ribu rakyat Palestin terus tinggal di kawasan penempatan sementara yang sesak, berdepan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan perkhidmatan kesihatan.

Penduduk berkata sebarang pengurangan kawasan yang boleh didiami orang awam akan mencetuskan gelombang baharu perpindahan penduduk dan meningkatkan lagi tekanan terhadap infrastruktur Gaza yang semakin lumpuh.

Minggu lepas, kumpulan Palestin Hamas menggesa “Majlis Keamanan” mengambil pendirian yang jelas berhubung kenyataan Israel mengenai rancangan untuk menguasai 70 peratus wilayah Gaza.

Menurut pihak berkuasa Palestin, serangan genosid Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, tentera Israel masih membunuh 947 rakyat Palestin dan mencederakan 2,935 yang lain menerusi serangan yang berlaku hampir setiap hari, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan