Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Program Taste of Malaysia kembali ke China tahun ini dengan mengetengahkan 30 produk makanan premium daripada lebih 11 syarikat Malaysia, sebagai sebahagian usaha memperluas kehadiran produk agromakanan tempatan di satu daripada pasaran pengguna terbesar dunia.
Dianjurkan oleh Pejabat Kaunselor Pertanian (ACO) di Kedutaan Malaysia di Beijing, program itu dilancarkan oleh Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad di Shanghai pada 3 Jun, bersempena ulang tahun ke-52 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama, ACO Beijing memaklumkan inisiatif itu bertujuan memperkenalkan pengguna dan komuniti perniagaan China kepada keunikan cita rasa serta kepelbagaian produk pertanian dan makanan Malaysia, selain mewujudkan peluang pasaran baharu untuk jenama tempatan.
“Lebih daripada sekadar pameran kulinari, acara ini menonjolkan bagaimana makanan dapat menjadi jambatan persahabatan, persefahaman dan kerjasama, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kecemerlangan agromakanan Malaysia, memperkukuh hubungan perdagangan serta mewujudkan peluang baharu untuk jenama Malaysia memasuki atau memperluas pasaran China,” menurut kenyataan itu.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM), penyedia perkhidmatan China Overseas Prominent Brands, Shanghai Shangshu Yonghui Supermarket dan Shangyou Selection Supermarket.
Kempen promosi secara fizikal berlangsung dari 3 hingga 9 Jun, disusuli kempen pemasaran e-dagang secara penstriman langsung selama sebulan pada akhir bulan ini bagi mengekalkan keterlihatan jenama, memperluas akses pengguna kepada produk Malaysia melangkaui kedai fizikal serta memacu jualan dan penglibatan dalam talian.
Menurut ACO Beijing, program itu turut menjadi platform penting untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada pengguna bagi memahami dengan lebih baik keutamaan dan penerimaan masyarakat China terhadap produk pertanian Malaysia.
Maklum balas berstruktur daripada pengguna dan pembeli profesional di kedua-dua rangkaian pasar raya itu akan memberi tumpuan kepada pilihan produk, harga, pembungkusan dan penerimaan keseluruhan. Maklum balas itu akan dikongsi dengan pembekal Malaysia yang mengambil bahagian bagi menyokong penambahbaikan produk dan strategi kemasukan pasaran.
“Maklum balas langsung ini akan membantu memastikan Malaysia mengekalkan piawaian tertinggi dan terus membekalkan produk yang memenuhi keperluan serta jangkaan pengguna yang sentiasa berubah,” menurut kenyataan itu.
Tahun lepas, ACO Beijing berjaya menganjurkan Program Taste of Malaysia 2025 yang menampilkan promosi dalam talian selama lima hari menerusi aplikasi METRO China dan promosi fizikal selama tiga hari di gedung utama peruncit itu di Beijing.
Program yang melibatkan 15 syarikat Malaysia dan diterajui METRO China itu menjana jualan sebanyak 51.49 juta yuan, menarik 300,000 pembeli dan lapan juta pengunjung, menerima 2,500 pertanyaan serta memudah cara 250 mesyuarat perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial