KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama-SPA) -- Persatuan Penterjemahan Arab Saudi dan Persatuan Penterjemah Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di pavilion Arab Saudi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Arab Saudi menyertai PBAKL 2026 sebagai tetamu kehormat bagi mempamerkan kekayaan warisan budaya dan industri kreatif negara itu kepada pengunjung Malaysia serta serantau.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), MoU itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang penterjemahan dan penerbitan, menggalakkan pertukaran budaya serta ilmu pengetahuan, selain menyokong usaha saintifik dan akademik yang menjadi kepentingan bersama.
Ia juga bertujuan memudah cara pertukaran kepakaran dan konsultasi khusus, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor penterjemahan serta memperkukuh kehadirannya dalam arena budaya antarabangsa.
Memorandum itu merupakan langkah penting ke arah membina perkongsian profesional dan budaya yang mampan bagi memperkukuh dialog ketamadunan antara Arab Saudi dan Malaysia, selain membuka ruang kepada projek serta inisiatif bersama yang menyokong aktiviti penterjemahan dan memperluas pertukaran sastera serta ilmu antara kedua-dua bahasa.
MoU itu dimeterai susulan sambutan menggalakkan terhadap pavilion negara itu di PBAKL 2026, yang diterajui Suruhanjaya Sastera, Penerbitan dan Penterjemahan Arab Saudi menerusi program budaya dan ilmu yang pelbagai, sekali gus menyerlahkan kedudukan budaya Arab Saudi yang semakin berkembang di pentas antarabangsa.
Perkara itu mencerminkan kepentingan pesta buku antarabangsa sebagai platform berkesan untuk memperkukuh kerjasama budaya serta memeterai perjanjian dan perkongsian yang menyumbang kepada peluasan prospek kerjasama antara institusi budaya dan ilmu pengetahuan di seluruh dunia.
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial