DUNIA > BERITA

Malaysia, Belanda Mahu Perkukuh Perkongsian Di Tengah Jurang Geopolitik Semakin Melebar

07/06/2026 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Belanda sedang memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, semikonduktor dan pengurusan air bagi mengurangkan risiko akibat perpecahan geopolitik yang semakin ketara antara kuasa-kuasa besar, kata Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner.

Beliau berkata kedua-dua negara tidak mahu menjadi mangsa kepada jurang geopolitik yang semakin melebar antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China, sambil menambah bahawa kuasa pertengahan perlu menjalinkan perkongsian lebih kukuh bagi melindungi kepentingan ekonomi dan strategik masing-masing.

Beliau berkata penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA), yang kini memasuki pusingan keempat, amat penting dalam persekitaran global semasa.

“Ketika kita bercakap ini, satu delegasi dari Brussels sedang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur untuk memulakan pusingan keempat rundingan antara EU dan Malaysia mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA), dan saya fikir kita kini semakin hampir untuk memuktamadkan rundingan ini.

“Dengan adanya FTA, kita boleh menjalankan lebih banyak perdagangan antara satu sama lain sambil mengurangkan risiko akibat terlalu bergantung kepada dua kuasa besar ini. Jadi, itulah yang sedang kita lakukan. Kita melakukan perkara yang perlu dilakukan sekarang,” katanya dalam program The Nation di Bernama TV.

Werner berkata industri semikonduktor muncul sebagai tonggak utama hubungan dua hala, dengan kerjasama yang semakin berkembang bertujuan memperkukuh daya tahan serta membantu kedua-dua negara meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai global.

“Industri ini berkembang pesat di seluruh dunia dan kita berdua akan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan itu. Bersama-sama, kita akan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai dan menjadikan satu sama lain lebih baik serta lebih berdaya tahan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata hubungan lebih erat antara Brainport Eindhoven di Belanda dan hab perindustrian Malaysia di Pulau Pinang dan Selangor membantu menghubungkan ekosistem semikonduktor kedua-dua negara.

Menurut beliau, kerjasama itu melangkaui rantaian bekalan dan pelaburan serta merangkumi inisiatif pembangunan bakat bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir global dalam industri semikonduktor. Industri, universiti dan institusi latihan kedua-dua negara sedang menjalin kerjasama lebih erat bagi memastikan bekalan bakat mahir yang berterusan untuk sektor berkenaan.

Selain semikonduktor, Werner berkata pengurusan air dan tebatan banjir merupakan satu lagi bidang kerjasama yang menjanjikan susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Belanda dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada 7 April.

Beliau berkata MoU itu akan memudahkan kerjasama antara pakar Belanda dan Malaysia untuk membangunkan penyelesaian jangka panjang dalam pengurusan air dan tebatan banjir.

“Kita perlu bekerjasama mencari penyelesaian berasaskan alam semula jadi serta penyelesaian kejuruteraan apabila diperlukan, selain mengambil pendekatan lebih holistik terhadap pengurusan air, sungai, laut, muara dan delta serta mungkin menyesuaikan semula penggunaan tanah di sesetengah kawasan bagi menangani situasi mencabar ini dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Menurut data Observatory of Economic Complexity (OEC), eksport Belanda ke Malaysia berjumlah kira-kira US$170 juta pada Januari 2026, manakala import dari Malaysia mencecah sekitar US$465 juta, menyebabkan defisit perdagangan kira-kira US$295 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan