LONDON, 7 Jun (Bernama-Anadolu) -- Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad mengecam pembunuhan seorang lagi anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) awal minggu ini dan mengulangi gesaan blok itu supaya akauntabiliti penuh ditegakkan, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, Kaja Kallas berkata EU menggesa semua pihak mematuhi sepenuhnya terma perjanjian antara Israel dan kumpulan Hizbullah di Lubnan serta menolak “sebarang syarat tambahan daripada Hizbullah”.
Kenyataan itu menegaskan bahawa rakyat Lubnan menanggung kesan kemanusiaan dan sosioekonomi yang “berat dan tidak boleh diterima” susulan peningkatan ketegangan berterusan serta serangan udara.
“EU menuntut pelaksanaan penuh Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menggesa agar Israel menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan serta pelucutan senjata kumpulan bersenjata bukan negara, termasuk Hizbullah.”
Kallas turut menegaskan semula sokongan penuh blok itu terhadap UNIFIL dan mandatnya, sambil berkata EU “mengutuk sekeras-kerasnya semua serangan terhadap anggotanya, termasuk pembunuhan seorang lagi anggota UNIFIL dalam serangan pada 4 Jun, iaitu anggota pengaman ketujuh yang terkorban sejak Mac, serta merakamkan ucapan takziah mendalam kepada keluarganya.”
“Pembunuhan anggota pengaman merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan mesti disusuli dengan akauntabiliti penuh,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial