DUNIA > BERITA

Xi, Kim Berunding Di Pyongyang, Mahu Perkukuh Hubungan China-DPRK

09/06/2026 03:09 PM

PYONGYANG, 9 Jun (Bernama-CMG) -- Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan juga Presiden China Xi Jinping berkata China dan Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) perlu memperkukuh asas kepercayaan politik dan memperkasakan kerjasama praktikal.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan rundingan dengan Setiausaha Agung Parti Pekerja Korea yang juga Presiden Hal Ehwal Negara DPRK Kim Jong Un di sini, sempena lawatan negara selama dua hari ke DPRK, pada Isnin.

Dalam rundingan itu, Xi menzahirkan kesediaannya untuk berganding bahu dengan Kim untuk memanfaatkan lawatan negara kali ini bagi memperkukuh perancangan dan panduan strategik peringkat tinggi bagi hubungan China-DPRK.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan hubungan dua hala terus berkembang seiring peredaran zaman demi manfaat kedua-dua negara dan rakyat, selain menyumbang kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau serta global.

Xi menyatakan bahawa China dan DPRK perlu berpegang kepada prinsip berpaksikan rakyat dan meningkatkan taraf kerjasama praktikal.

Beliau menegaskan bahawa China bersedia memperkukuh penyelarasan strategik pembangunan dengan DPRK, memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pertanian, pembinaan, sains dan teknologi serta perubatan dan kesihatan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Pada masa sama, Xi berkata kedua-dua negara perlu terus memupuk persahabatan tradisional selain meningkatkan persefahaman antara rakyat.

Menurut beliau, China dan DPRK perlu mengangkat tinggi prinsip kesamarataan dan keadilan serta memperkaya kerjasama strategik dua hala.

China dan DPRK juga perlu meningkatkan koordinasi dan kerjasama strategik, mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan masing-masing serta bersama-sama memelihara keamanan dan pembangunan serantau, tegas Xi.

Sementara itu, Kim melahirkan rasa gembira melihat China mencapai pembangunan pesat di bawah kepimpinan Xi selain kedudukan negara itu yang semakin meningkat di pentas dunia.

Kim berkata konsep komuniti berkongsi basib sesama insan dan empat inisiatif global yang dikemukakan Xi amat signifikan dalam mempromosikan kedamaian serta pembangunan dunia.

Beliau menegaskan DPRK akan terus mengutamakan hubungan dengan China serta berusaha membina hubungan DPRK-China sebagai contoh hubungan antara negara, selain bersama-sama menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran serantau serta antarabangsa.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan