DUNIA > BERITA

Sepanyol Terus Pamer Momentum Positif Menjelang Piala Dunia

09/06/2026 03:59 PM

LONDON, 9 Jun (Bernama-PA Media/dpa) -- Sepanyol meneruskan momentum cemerlang menjelang Piala Dunia apabila menewaskan Peru 3-1 di Mexico pada Isnin.

Juara Eropah itu yang dianggap antara calon utama untuk menjulang gelaran Piala Dunia kedua mereka, meraih kemenangan selesa menerusi jaringan Mikel Oyarzabal dan Pedri pada separuh masa pertama sebelum gol sendiri penjaga gol Peru, Pedro Gallese.

Sepanyol hanya memerlukan dua minit untuk mendahului di Puebla apabila Oyarzabal melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru bawah gawang.

Oyarzabal hampir menjaringkan gol sekali lagi namun rembatannya melambung tinggi selepas menerima hantaran Pedri, yang kemudiannya menjaringkan gol kedua pada minit ke-32.

Ferran Torres menemukan rakan sepasukannya di dalam kotak penalti sebelum Pedri mudah menyempurnakan peluang dari jarak dekat.

Peru memperoleh beberapa peluang sebelum waktu rehat, namun gagal merapatkan jurang. 

Gallese pula tertampan bola ke gawang sendiri pada awal babak kedua ketika jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, membuat rombakan sepenuhnya terhadap kesebelasan utama pasukannya.

Tiga pemain yang mengalami kecederaan iaitu Lamine Yamal, Nico Williams dan Victor Munoz tidak diturunkan dalam perlawanan itu.

Peru memperoleh gol menerusi Jairo Velez yang menyambut hantaran Marcos Lopez sebelum menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya.

Sepanyol akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Cape Verde pada Isnin, dengan Arab Saudi dan Uruguay turut menganggotai Kumpulan H.

-- BERNAMA-PA Media/dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan