JEDDAH, 18 Jun (Bernama-WAFA) -- Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu memberi amaran mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh rancangan pendudukan Israel untuk menjejaskan status politik, sejarah dan perundangan bandar Hebron.
Sekretariat Agung OIC menyatakan bahawa tindakan terbaharu itu ialah keputusan Menteri Kewangan Israel untuk melucutkan kuasa Majlis Perbandaran Hebron terhadap Masjid Ibrahimi, Kota Lama dan kawasan sekitarnya serta membatalkan Perjanjian Hebron, lapor agensi berita Palestin, WAFA.
Sekretariat Agung itu menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk bandar Hebron dan tapak sucinya, serta semua tapak keagamaan, sejarah, warisan dan kebudayaan di kawasan berkenaan, selaras dengan resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan UNESCO.
Ia sekali lagi menyeru masyarakat antarabangsa supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam memelihara dan melindungi Masjid Ibrahimi, Kota Lama Hebron dan mercu tanda bersejarahnya, kerana ia merupakan bahagian yang tidak terpisah daripada wilayah Negara Palestin serta warisan budayanya yang tersenarai dalam Senarai Warisan Dunia dalam Bahaya UNESCO.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial