DUNIA > BERITA

Singapura Teroka Perjanjian FTA Pertama Dengan Komuniti Afrika Timur

10/06/2026 08:17 AM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 9 Jun (Bernama) -- Singapura dan Komuniti Afrika Timur (EAC) menyatakan hasrat untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu.

EAC merupakan sebuah pertubuhan antara kerajaan serantau yang dianggotai oleh lapan negara rakan iaitu Congo, Somalia, Burundi, Kenya, Rwanda, Sudan Selatan, Uganda dan Tanzania.

MFA memaklumkan bahawa cadangan FTA itu bakal menjadi rundingan pertama EAC dengan rakan kongsi di luar benua Afrika, sekali gus menandakan perjanjian perdagangan sulung Singapura dengan rakan  dari Afrika.

Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam kini sedang dalam rangka lawatan negara ke Tanzania sehingga Rabu.

Pada sidang media bersama Presiden Tanzania Samia Suluhu Hassan pada Selasa, Tharman berkata FTA sedemikian akan meningkatkan akses pasaran serta aliran barangan dan perkhidmatan antara EAC dan Singapura.

"Singapura juga boleh menyediakan pintu masuk bagi pengeksport Afrika Timur ke pasaran ASEAN yang lebih luas. Selain itu, ia akan membuka kawasan pertumbuhan baharu seperti dalam ekonomi digital," katanya lagi.

Menurut MFA, selepas pertemuan itu, kedua-dua presiden menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) merangkumi penubuhan rundingan dua hala, kerjasama dalam kredit karbon, pembinaan kapasiti dalam memudah cara perdagangan, pembangunan kemahiran, serta Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik tahun ini merupakan peluang terbaik untuk meneroka bidang kerjasama baharu seperti ekonomi biru dan hijau, ekonomi digital, pelancongan dan pembangunan pelabuhan, keterjaminan makanan, pembangunan belia, pendidikan vokasional dan teknikal, serta penjagaan kesihatan.

"Ini termasuk kerjasama dengan universiti terkemuka di Tanzania seperti Muhimbili University of Health and Allied Sciences  serta Hospital Benjamin Mkapa," kata MFA dalam satu kenyataan pada Selasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan