DUNIA > BERITA

Kenya: Penunjuk Perasaan Maut, Puluhan Ditahan Susulan Protes Terhadap Kemudahan Ebola AS

10/06/2026 01:28 PM

NAIROBI (Kenya), 10 Jun (Bernama-Anadolu) -- Seorang individu maut ditembak manakala lebih 50 penunjuk perasaan ditahan pada Selasa semasa demonstrasi terbaharu di bandar Nanyuki, tengah Kenya, membantah pembinaan kemudahan kuarantin Ebola yang disokong Amerika Syarikat (AS) di Pangkalan Udara Laikipia, menurut polis dan saksi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah korban akibat protes berkaitan kemudahan Ebola itu meningkat kepada tiga orang selepas dua individu maut dalam demonstrasi terdahulu pada minggu lepas.

Premis perniagaan ditutup di beberapa bahagian bandar itu ketika polis antirusuhan bertempur dengan penunjuk perasaan yang cuba berarak ke arah kemudahan berkenaan.

Polis menahan lebih 50 penunjuk perasaan semasa operasi itu ketika pasukan keselamatan berusaha menyuraikan orang ramai yang berkumpul berhampiran jalan menuju ke pangkalan udara itu.

Asap tebal gas pemedih mata menyelubungi beberapa kawasan di Nanyuki, termasuk sebuah masjid berhampiran dan jalan-jalan sekitarnya ketika penunjuk perasaan bertempiaran melarikan diri ke kawasan komersial.

Vocal Africa, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Nairobi, mengkritik tindakan polis terhadap demonstrasi itu dan mendakwa anggota keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan sehingga menyebabkan seorang maut.

Kumpulan itu memuat naik imej dari lokasi kejadian di media sosial, termasuk gambar mangsa yang dikaburkan.

Mangsa ditembak di bahagian belakang kepala, menurut saksi dan imej yang tular di media sosial.

Bercakap kepada pemberita, Senator Laikipia John Kinyua berkata pemimpin tempatan tidak dimaklumkan mengenai kemudahan itu sebelum pembinaannya dimulakan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai ketelusan dan rundingan awam.

Beliau berkata pegawai daerah, termasuk wakil rakyat dan kerajaan daerah, hanya mengetahui mengenai projek itu selepas kerja pembinaan telah pun dimulakan.

Penduduk dan pemimpin tempatan berikrar akan terus membantah kemudahan itu dengan menyatakan ia menimbulkan risiko terhadap keselamatan awam, pelancongan dan mata pencarian penduduk setempat.

Penunjuk perasaan turut menuduh kerajaan mengabaikan kebimbangan komuniti serta perintah mahkamah yang menggantung projek itu.

Kemudahan Ebola itu terletak di Pangkalan Udara Laikipia, kira-kira lapan kilometer dari Nanyuki, yang berada sekitar 200 kilometer di utara Nairobi.

Kekacauan terbaharu itu berlaku walaupun Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah menggantung kemudahan berkenaan serta mengarahkan kerajaan mendedahkan perjanjian yang menjadi asas projek itu.

Kedutaan AS di Kenya sebelum ini cuba meyakinkan penduduk bahawa kemudahan itu tidak mendatangkan bahaya kepada komuniti berhampiran dan merupakan sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk membendung penularan Ebola di rantau berkenaan.

Polis dan penganjur protes sebelum ini mengesahkan bahawa dua orang maut dalam demonstrasi terdahulu berkaitan kemudahan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan