DUNIA > BERITA

Chongqing Sasar Perluas Jangkauan Global Menerusi Industri Kreatif

10/06/2026 03:12 PM

Oleh Massita Ahmad

CHONGQING (China), 10 Jun (Bernama) -- Chongqing berhasrat memperluas jangkauan global industri kreatifnya dengan menarik bakat kreatif luar negara, memperkukuh kerjasama antarabangsa serta membawa penerbitan filem dan televisyen China kepada khalayak antarabangsa yang lebih luas.

Dengan populasi kira-kira 32 juta penduduk, Chongqing merupakan antara perbandaran paling ramai penduduk di China dan berhasrat menggabungkan warisan budaya kaya negara itu, termasuk budaya Bayu miliknya sendiri, dengan teknologi moden bagi menghasilkan kandungan yang mampu menarik perhatian penonton di dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Perbandaran Chongqing Wang Jiong berkata perbandaran di barat daya China itu akan memanfaatkan sumber budaya domestik dan antarabangsa bagi mempertingkatkan penghasilan kreatif serta memupuk persefahaman yang lebih mendalam antara tamadun.

“Kami akan memanfaatkan sepenuhnya sumber budaya dari seluruh dunia, meneroka secara inovatif nilai kontemporari budaya tradisional unggul China serta budaya Bayu Chongqing, dan merealisasikan transformasi kreatif menerusi estetika serta teknologi moden,” katanya.

“Matlamat kami ialah menghasilkan lebih banyak karya filem dan televisyen berkualiti tinggi dengan identiti budaya tersendiri serta daya tarikan yang kuat,” kata Wang pada majlis pembukaan Minggu Filem Animasi Antarabangsa Chongqing 2026 di Daerah Yongchuan pada Isnin.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ahli Lembaga Editorial China Media Group (CMG) Jiang Haiqing, yang juga Setiausaha Jawatankuasa CPC serta Pengerusi China International Television Corporation.

Sebagai sebahagian daripada usaha pengantarabangsaan, Wang berkata Chongqing akan memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi luar negara, meningkatkan platform komunikasi antarabangsa serta memperluas jangkauan global penerbitan China.

Beliau berkata pertukaran antara rakyat akan kekal menjadi komponen penting dalam usaha Chongqing memperkukuh persefahaman antarabangsa dan kerjasama budaya.

“Menerusi pertukaran dan kerjasama antara rakyat, kami akan menyampaikan suara Chongqing dan menceritakan kisah China dengan baik,” katanya.

Bertemakan “Boundless Creativity · Excelling Together”, acara selama lima hari itu menghimpunkan profesional animasi, pembikin filem, pemaju teknologi dan wakil industri dari China serta luar negara bagi membincangkan trend baharu serta peluang dalam sektor animasi.

Majlis pembukaan itu menampilkan produksi berskala besar yang menggabungkan animasi, muzik dan teknologi digital termaju, mempamerkan evolusi animasi China serta peranan yang semakin berkembang bagi kecerdasan buatan (AI), penerbitan maya dan teknologi tangkapan gerakan dalam penciptaan kandungan.

Antara tarikan utama minggu filem itu ialah program "Golden Camellia Honorary Recommendation" yang menarik penyertaan 501 karya animasi dari seluruh dunia. Selepas penilaian awal, sebanyak 45 karya disenarai pendek ke peringkat akhir penghakiman.

Panel juri dipengerusikan oleh pengarah animasi terkenal Rob Minkoff, yang juga pengarah bersama filem Disney “The Lion King”, dan turut membabitkan tokoh utama industri animasi dan filem dari China serta luar negara.

Selain aktiviti industri, hampir 40 filem animasi klasik akan ditayangkan di lebih 30 pawagam di seluruh Chongqing, manakala tayangan percuma di kawasan terbuka turut diadakan bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada orang ramai.

Minggu Filem Animasi Antarabangsa Chongqing 2026 dianjurkan bersama oleh Jabatan Publisiti Jawatankuasa Perbandaran Chongqing, Pusat Program Animasi CMG dan Kerajaan Rakyat Daerah Yongchuan.

Minggu filem itu berlangsung sehingga 13 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan