DUNIA > BERITA

AI Perlu Berkhidmat Untuk Manusia, Bukan Menguasainya, Kata Presiden CMG

10/06/2026 09:13 PM

Daripada Chiang Hee Tze & Massita Ahmad

CHONGQING (China), 10 Jun (Bernama) -- Kecerdasan buatan (AI) perlu kekal sebagai kuasa yang memberi manfaat kepada manusia, dengan kemajuannya dipandu oleh etika, keterangkuman dan tanggungjawab bersama dalam kalangan pengamal media global, kata Presiden China Media Group (CMG) Shen Haixiong.

Memetik Presiden China Xi Jinping, Shen berkata: “Kecerdasan Buatan perlu menjadi aset awam antarabangsa yang memberi manfaat kepada seluruh manusia.”

“Semakin maju AI, semakin penting misi media. CMG sentiasa menegaskan bahawa teknologi perlu berkhidmat untuk manusia dan bukannya menguasainya, sekali gus memastikan algoritma menyampaikan nilai kebaikan, bukannya memperkukuh berat sebelah,” katanya dalam ucapan pembukaan Forum CMG Ke-5 di sini pada Rabu.

Shen menyampaikan ucapannya dalam bahasa Mandarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Presiden Reuters Paul Bascobert, serta Rektor Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga Timbalan Setiausaha Agung PBB, Tshilidzi Marwala.

Mereka menyertai wakil organisasi media antarabangsa, syarikat teknologi, ahli akademik dan agensi kerajaan bagi bertukar pandangan mengenai masa depan media dalam era AI.

Shen berkata peranan media dalam era AI melangkaui penerapan teknologi baharu, sebaliknya turut melibatkan usaha mempertahankan nilai tamadun dan mempromosikan kesejahteraan manusia.

“Misi media dalam era pintar bukan sekadar persoalan teknikal, tetapi juga persoalan berasaskan nilai yang menyentuh hala tuju tamadun dan kesejahteraan manusia,” katanya.

Beliau berkata CMG sedang memperluas penggunaan AI dalam operasi medianya bagi menghasilkan bentuk penceritaan baharu serta meningkatkan integrasi budaya dan teknologi.

“Kami menyalakan obor teknologi, membuka ruang baharu yang mempertemukan budaya dan teknologi, serta membentuk semula pelbagai kemungkinan dalam penceritaan kisah China,” kata Shen.

Beliau berkata kemajuan teknologi membolehkan budaya tradisional China dipersembahkan menerusi pendekatan inovatif.

“Teknologi boleh membawa warisan budaya ribuan tahun ke tahap baharu, selain membolehkan teks sejarah purba kembali ‘berbicara’,” katanya.

Bagi menonjolkan aplikasi praktikal AI, Shen merujuk kepada persembahan seni mempertahankan diri oleh robot pintar pada Gala Festival Musim Bunga CMG tahun ini, yang menarik perhatian dunia dan menerima pujian daripada Canselor Jerman Friedrich Merz semasa lawatannya ke China.

“Malah, Gala Festival Musim Bunga CMG sahaja berjaya meningkatkan kesedaran awam dan mencetuskan minat pengguna terhadap industri yang sedang berkembang itu,” katanya.

Shen berkata CMG turut mempromosikan teknologi baharu menerusi platform termasuk Pertandingan Kemahiran Robot Dunia CMG, Persidangan Robotik Huawei dan Gala Inovasi Sains dan Teknologi China, selain menggunakan AI untuk mentafsir semula budaya tradisional China menerusi program seperti The Millennium Sage of Poetry dan Chinese Culture.

Menyentuh cabaran yang hadir bersama kemajuan teknologi pesat, Shen memberi amaran bahawa landskap digital semakin dipengaruhi maklumat palsu, pengaruh algoritma dan manipulasi emosi.

“Teknologi boleh membina dunia yang saling berhubung, namun pada masa sama juga boleh membina tembok yang tidak kelihatan. Dalam Internet hari ini, isu seperti maklumat palsu, pembentukan pemikiran oleh algoritma dan manipulasi emosi sedang menggugat ekosistem pendapat awam melalui gelombang perdebatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata pembangunan AI perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan kemajuan teknologi, tetapi juga sumbangannya kepada tamadun manusia.

“Kami percaya kemajuan dalam era pintar diukur bukan hanya melalui kepantasan teknologi, tetapi juga kedalaman nilai kemanusiaan dalam tamadun. Kemajuan teknologi seiring nilai kemanusiaan, serta inovasi yang bergerak seiring keterangkuman, perlu menjadi keyakinan dan tanggungjawab bersama pengamal media global dalam era ini,” katanya.

Shen turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa bagi memastikan manfaat AI dapat dinikmati semua lapisan masyarakat dan membantu merapatkan jurang teknologi.

Beliau berkata CMG akan terus memperkukuh kerjasama dengan organisasi media global bagi mempromosikan pertukaran, meningkatkan kerjasama dan menyokong pembangunan landskap komunikasi digital yang lebih terbuka dan inklusif.

“Matlamat kami adalah untuk memacu pembangunan sejagat, merapatkan jurang digital dan bersama-sama membina paradigma baharu komunikasi pintar yang terbuka, inklusif dan dikongsi bersama,” katanya.

Shen berkata AI, sebagai sebahagian daripada kuasa produktif berkualiti baharu China, sedang mewujudkan peluang baharu bagi pembangunan global dan menggesa organisasi media antarabangsa bekerjasama membentuk masa depan komunikasi pintar.

“China Media Group mengundang rakan media global untuk bergerak seiring, bersama-sama membina misi media dalam era pintar baharu dan menyumbang kepada usaha membentuk komuniti berkongsi masa depan untuk umat manusia,” katanya.

Forum bertemakan “Upholding and Reshaping: The Media's Mission in the Intelligent Era” itu anjuran CMG bersama Kerajaan Rakyat Perbandaran Chongqing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan