DUNIA > BERITA

"Berada Di Tempat Dan Masa Yang Tepat": Duta Belanda Akhiri Kerjaya Diplomatik Di Malaysia

13/06/2026 11:51 AM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Apabila diplomat Jacques Werner memohon Kuala Lumpur sebagai penempatan terakhir dalam kerjaya diplomatiknya, ia merupakan pilihan yang dibentuk oleh kenangan manis selama beberapa dekad terhadap Malaysia, negara yang kini dirancang untuk dijadikan tempat tinggalnya selepas bersara.

Bagi Duta Besar Belanda ke Malaysia itu, memperoleh tugasan terakhir berkenaan merupakan kemuncak kepada hasrat yang dipendamnya sejak bertahun-tahun. Peluang untuk berkhidmat di Kuala Lumpur adalah sesuatu yang diimpikan Werner dan isterinya sejak beliau berkhidmat sebagai duta ke Singapura lebih sedekad lalu.

“Kami telah melawat Malaysia beberapa kali dari Singapura, dan kami saling berpandangan serta berkata, jika suatu hari nanti kami berpeluang mendapat penempatan di Kuala Lumpur, itu pasti sesuatu yang amat baik. Akhirnya, saya memperoleh penempatan terakhir di sini. Jadi kami amat gembira. Ia benar-benar memenuhi jangkaan kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Namun hubungan Werner dengan Malaysia bermula sejak 1988 apabila beliau, ketika berkhidmat sebagai pegawai rendah kementerian luar Belanda, melawat Pulau Bidong, Terengganu, sebagai sebahagian daripada misi penempatan semula pelarian melibatkan pelarian Vietnam yang tiba dengan bot.

Lawatan itu meninggalkan kesan mendalam dan menandakan permulaan hubungan beliau dengan Malaysia yang akhirnya membawanya kembali sebagai duta beberapa dekad kemudian.

Werner, yang dijadual menamatkan perkhidmatannya di Kuala Lumpur pada Ogos dan bersara selepas 43 tahun dalam kerjaya diplomatik, berkata beliau dan isterinya tidak mempunyai perancangan segera untuk kembali ke Belanda, sebaliknya bercadang untuk terus menikmati kehidupan di sini.

“Kami akan terus tinggal di sini dan menikmati makanan Asia setiap hari.

“Namun sudah tentu kami juga akan banyak melancong selepas bersara memandangkan anak-anak kami tidak tinggal di Belanda. Tiada keperluan mendesak untuk pulang, walaupun keluarga kami tinggal di sana dan kami ingin melawat mereka sekali-sekala,” katanya.

“Nasi lemak terbaik di dunia ada di sini, dan kita semua tahu mengenainya,” tambah beliau.

Ketika bersiap mengakhiri kerjaya diplomatik yang menjangkau lebih empat dekad, Werner mengibaratkan setiap penempatan di luar negara seperti satu perjalanan kereta api.

“Saya datang ke sini untuk tempoh empat tahun. Ia seperti kereta api. Saya naik kereta api itu, menjalankan tugas selama empat tahun, kemudian saya turun,” katanya.

Werner, yang tiba di Malaysia pada September 2022, berkata beliau kagum dengan kemajuan pesat negara ini sepanjang tempohnya di Malaysia, khususnya dalam pembangunan ekonomi, usaha kelestarian dan kerjasama dua hala.

“Amat menggembirakan melihat Malaysia berkembang begitu pesat dalam pelbagai aspek. Ekonominya berkembang pesat. Hubungan dua hala juga berada pada tahap yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata perkembangan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini mengukuhkan lagi keyakinannya bahawa Malaysia dan Asia Tenggara semakin penting dalam landskap global yang sedang berubah.

“Saya amat gembira kami membuat pilihan ini kerana keadaan geopolitik yang timbul sejak dua atau tiga tahun lalu menjadikan rantau ini tempat terbaik di dunia untuk berada ketika ini.

“Terdapat agenda positif di rantau ini. Sangat menarik berada di sini untuk melihat bagaimana Kesatuan Eropah, ASEAN dan Malaysia dapat bekerjasama dengan lebih baik dalam tempoh yang mencabar ini. Saya rasa saya berada di tempat dan masa yang tepat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan