DUNIA > BERITA

Syarikat Pemula Jepun Bangunkan Sistem Bezakan Tulisan Manusia Dengan Teks AI

14/06/2026 05:22 PM

TOKYO, 14 Jun (Bernama-Kyodo) -- Sebuah syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) di Jepun baru-baru ini membangunkan sistem yang boleh membezakan sama ada kertas akademik ditulis manusia atau dijana AI, dengan harapan ia dapat digunakan secara lebih meluas oleh institusi akademik, lapor Kyodo News.

Sistem pengenalpastian dikenali sebagai “Puddin AI” itu dibangunkan oleh Valar Intelligence, sebuah syarikat pemula berpangkalan di Osaka, dan memerlukan pengguna menulis serta menyerahkan kertas mereka menerusi platform berkenaan.

Menurut syarikat itu, Kyushu University telah menggunakan sistem berkenaan secara percubaan dalam kelas, manakala puluhan universiti lain sedang mempertimbangkan penggunaannya.

Sistem itu memberi tumpuan kepada proses penulisan dengan merekodkan masa pengguna mula menulis, kelajuan menaip dan susunan kronologi semakan yang dibuat.

Apabila butang pengenalpastian ditekan, sistem itu menilai tahap “ciri kemanusiaan” sesuatu penulisan menggunakan kira-kira 200 petunjuk, termasuk kesalahan ejaan lazim manusia, jeda semasa menulis dan anggaran masa yang lazim diperlukan untuk menghasilkan sesuatu penulisan.

Menyalin dan menampal karangan yang dijana AI akan memendekkan proses penulisan dengan ketara, sekali gus membolehkan sistem menentukan bahawa sesuatu teks itu bukan dihasilkan manusia.

Keputusan analisis dibahagikan kepada tiga kategori iaitu AI, disokong AI dan manusia.

Menurut pembangun, sistem itu menyokong bahasa Jepun, Inggeris dan empat bahasa lain serta boleh menganalisis tugasan universiti, kertas akademik dan dokumen korporat.

Profesor Madya Ekonomi Tenaga di Kyushu University, Andrew John Chapman berkata beliau mahu pelajar meluangkan masa dan menyiapkan tugasan mereka sendiri.

“Sistem ini boleh mengesahkan keaslian sesuatu hasil kerja, sekali gus membolehkan penilaian yang adil,” katanya.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan