DUNIA > BERITA

Jepun Jaring Gol Saat Akhir Untuk Seri 2-2 Dengan Belanda

15/06/2026 12:30 PM

ISTANBUL, 15 Jun (Bernama-Anadolu) --​​​​​​ Jepun mengikat Belanda 2-2 pada Ahad selepas menjaringkan gol penyamaan dalam minit-minit akhir perlawanan Kumpulan F pada Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium AT&T di Arlington, Texas, lapor Anadolu Ajansi.

Belanda mengawal sebahagian besar separuh masa pertama, menolak Jepun ke belakang dan berulang kali cuba menggunakan kelebihan ketinggian mereka melalui hantaran silang dan tandukan, namun pertahanan Jepun kekal teguh.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk memecah kebuntuan pada minit ke-51, menanduk masuk hantaran lintang Ryan Gravenberch.

Jepun bertindak balas enam minit kemudian apabila Keito Nakamura menuju ke arah tepi kotak penalti dan melepaskan rembatan ke sudut untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Belanda kembali mendahului pada minit ke-64 menerusi Crysencio Summerville, yang menggelecek di bahagian atas kotak penalti sebelum merembat bola ke sudut bawah.

Jepun kemudian mengambil alih kawalan apabila Belanda bergerak ke belakang untuk melindungi kedudukan mereka, mengasak pertahanan Belanda untuk mencari satu lagi gol penyamaan.

Tekanan yang dikenakan ke atas Belanda akhirnya berhasil dalam minit ke-88 apabila Daichi Kamada menyepak hantaran lintang buat Koki Ogawa, yang menyasarkan gawang untuk memperoleh satu mata buat Jepun. 

Keputusan itu meletakkan Jepun pada tangga teratas Kumpulan F, dengan Belanda di tempat kedua. 

-- BERNAMA-ANADOLU 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan