Daripada Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 15 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa Vietnam mempromosikan program renang dan keselamatan air untuk kanak-kanak ketika musim tengkujuh bermula, sebagai usaha mengelakkan kejadian lemas yang meragut ribuan nyawa setiap tahun.
Hal itu didorong oleh kejadian kanak-kanak lemas yang terus menjadi kebimbangan kesihatan awam utama di Vietnam, dan kumpulan advokasi global menganggarkan kira-kira 2,000 kanak-kanak kehilangan nyawa mereka akibat lemas setiap tahun, terutamanya dalam komuniti yang terdedah kepada banjir.
Dalam musim hujan dan ketika permulaan cuti sekolah musim panas, pihak berkuasa memperluas penganjuran kelas renang, mengajar kemahiran keselamatan air dan memantau sungai berisiko tinggi, terusan serta kawasan banjir, lapor Vietnam News pada Isnin.
Skala cabaran kesihatan awam di Vietnam telah mendorong pihak berkuasa meluaskan kempen di seluruh negara untuk mencegah kanak-kanak lemas, di negara yang terkenal dengan sistem sungai, tasik dan terusan yang luas.
“(Kami) bekerjasama dengan sekolah, pertubuhan belia dan pusat renang untuk mempromosikan faedah belajar berenang, menggalakkan pelajar menyertai kelas renang, menyediakan kemahiran pencegahan lemas dan mengintegrasikan pendidikan pencegahan kecederaan ke dalam aktiviti musim panas,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Phu Loi Ward Tran Thi Hong Van, lapor akhbar harian itu.
Pada Mei lepas, empat pelajar dihanyutkan arus deras ketika berenang di Wilayah Dak Lak. Tiga hari kemudian, lima lagi kanak-kanak lelaki lemas di Wilayah Phu Tho, menggariskan risiko berterusan yang dihadapi oleh kanak-kanak semasa tempoh hujan lebat dan banjir.
Cabaran itu bukan sekadar di Vietnam.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 300,000 orang mati akibat lemas di seluruh dunia pada 2021, dengan Asia Tenggara merekodkan jumlah kematian serantau tertinggi iaitu 83,000 kematian.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan kes kanak-kanak lemas juga tinggi di Kemboja, iaitu hampir 1,300 kanak-kanak mati akibat lemas setiap tahun.
Ia kekal sebagai antara punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak Kemboja berumur lima hingga 14 tahun.
Laporan Status Serantau Asia Tenggara WHO mengenai Lemas 2025 mengenal pasti beberapa sebab kejadian tragis tersebut, memandangkan masyarakat tinggal berhampiran sungai, kolam, terusan dan zon pantai yang penting untuk kelangsungan kehidupan harian mereka.
Di samping itu, monsun bermusim dan banjir berulang, yang ditingkatkan oleh perubahan iklim, cenderung meningkatkan risiko.
"Kesukaran sosial dan ekonomi serta ketidaksamaan memburukkan lagi kerentanan. Kemudahan perumahan yang tidak mencukupi, pengangkutan air yang tidak selamat, pilihan penjagaan kanak-kanak yang terhad dan mahir berenang yang lemah ialah fenomena yang berulang," menurut laporan WHO.
UNICEF menganggarkan sembilan daripada 10 kematian akibat lemas berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dengan kanak-kanak di bawah umur lima tahun menghadapi risiko paling besar.
Sebagai contoh, di Bangladesh, yang juga dikelilingi sungai-sungai besar dan terdedah kepada banjir, 40 kanak-kanak maut setiap hari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial