DUNIA > BERITA

Indonesia, Dua Rakan ASEAN Sertai Jawatankuasa Warisan Budaya UNESCO

18/06/2026 04:33 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 18 Jun (Bernama) -- Indonesia dipilih menganggotai Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO bagi Pemuliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara untuk penggal 2026-2030, sekali gus memperoleh kerusi dalam badan utama yang menyelia pelaksanaan konvensyen UNESCO 2003 mengenai warisan budaya tidak ketara.

Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan yang pemilihan itu diadakan semasa Perhimpunan Agung ke-11 Negara Pihak kepada konvensyen berkenaan di ibu pejabat UNESCO di Paris pada 17 Jun.

Menurut kenyataan itu, Indonesia memenangi satu daripada empat kerusi yang diperuntukkan bagi kumpulan Asia-Pasifik dalam pertandingan yang melibatkan enam calon. Kemenangan ini menyaksikan Indonesia menyertai rakan anggota ASEAN lain iaitu Filipina dan Kemboja, serta Jepun, dalam jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa itu terdiri daripada 24 anggota yang dipilih dalam kalangan 185 Negara Pihak kepada konvensyen tersebut. Ia bertanggungjawab menilai pencalonan untuk Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO serta merangka panduan dasar bagi memelihara warisan budaya di seluruh dunia.

Duta Besar Indonesia ke Perancis merangkap Wakil Tetap ke UNESCO Mohamad Oemar berkata Indonesia akan menyumbang kepada penggubalan dasar global mengenai pemeliharaan budaya, mempromosikan pelaksanaan Konvensyen 2003 yang lebih inklusif, serta memperkukuh kapasiti komuniti tempatan.

Sementara itu, Timbalan Wakil Tetap Indonesia ke UNESCO I Gusti Agung Ketut Satrya Wibawa berkata Indonesia akan menggunakan kedudukannya dalam jawatankuasa itu untuk memajukan kepentingan negara membangun dalam aspek perlindungan warisan budaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan