BEIJING, 23 Jun (Bernama-CMG) -- Kerajaan China memutuskan untuk sekali lagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Republik Demokratik Congo (DR Congo), Uganda dan Kesatuan Afrika (AU) susulan situasi wabak Ebola yang semakin membimbangkan.
Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun berkata China dan Afrika sebagai komuniti berkongsi nasib menunjukkan komitmen untuk mengharungi cabaran bersama-sama dengan Beijing terus memberikan sokongan padu kepada Afrika dalam memerangi wabak Ebola.
"Perkembangan wabak Ebola di DR Congo dan Uganda sentiasa berada dalam perhatian China. DR Congo dan AU telah pun menerima bantuan kemanusiaan kecemasan dari China, yang turut menghantar pasukan pakar perubatan bagi menangani wabak itu bersama bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke DRC.
"Ketika ini, hampir 1,000 anggota perubatan China yang sedang bertugas di Afrika bagi memerangi wabak ini menerusi kerjasama dengan penduduk tempatan," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 19 Jun lepas mengumumkan bahawa China telah menghantar satu lagi pasukan perubatan ke DR Congo.
Menurut Guo, sebaik tiba di ibu negara DR Congo, Kinshasa pada 2 Jun, pasukan pakar perubatan China terus melibatkan diri dalam usaha membendung wabak berkenaan.
Beliau berkata pasukan itu bekerjasama rapat dengan jabatan kesihatan tempatan bagi mengenal pasti keperluan mereka, selain memberikan perkhidmatan perubatan serta panduan yang diperlukan, sekali gus menerima pujian daripada pelbagai pihak atas prestasi cemerlang mereka.
"China akan terus bersama-sama masyarakat antarabangsa memberikan tumpuan terhadap perkembangan pandemik itu, dan menyediakan sokongan yang diperlukan mengikut keperluan negara-negara Afrika bagi membantu mereka mencapai kejayaan dalam mengekang wabak ini," tambah beliau.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial