Daripada Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 23 Jun (Bernama) -- Konflik berterusan di Asia Barat mendedahkan kelemahan dalam aturan berasaskan peraturan global dan mengancam pertumbuhan ekonomi jangka panjang dengan menjejaskan keyakinan pelabur dan mengganggu rantaian bekalan, kata Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing pada Selasa.
Bercakap pada pembukaan Persidangan Tahunan Institut Timur Tengah, Chan berkata konflik baru-baru ini telah menunjukkan bagaimana pihak yang lebih lemah boleh mencabar kuasa konvensional yang lebih kuat menerusi peperangan asimetri, termasuk penggunaan teknologi baharu, mampu milik dan berskala seperti dron bersenjata.
"Kita juga telah melihat rantaian bekalan ekonomi kita yang sangat berkaitan dijadikan senjata, malah geografi dijadikan senjata untuk memeras ugut dunia,” katanya.
Chan berkata implikasi konflik baru-baru ini lebih sekadar kelemahan keselamatan dan ekonomi, ia menjejaskan peraturan dan norma global serta menimbulkan persoalan mengenai justifikasi perang dan ambang untuk memulakannya.
"Keinginan untuk menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan pertikaian mencerminkan trend kepincangan diplomasi yang membimbangkan," katanya.
Pada masa sama, Chan berkata impak paling cepat konflik itu adalah terhadap ekonomi global, harga dan rantaian bekalan, memberi amaran bahawa kesannya boleh melangkaui gangguan pasaran dalam jangka masa pendek.
"Selain perubahan harga jangka pendek, kebimbangan yang lebih besar ialah peralihan jangka sederhana dalam sentimen pelaburan untuk ekonomi global.
"Ketidakpastian yang semakin meningkat akan memberikan satu lagi tamparan negatif kepada keyakinan pelabur global, yang akan membawa kesan jangka sederhana hingga panjang kepada ekonomi global, penciptaan pekerjaan dan peningkatan gaji," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial