DUNIA > BERITA

Hidupkan “Semangat Laluan Sutera”, Tingkatkan Perpaduan Demi Manfaat Bersama - Naib PM China

26/06/2026 02:37 PM

URUMQI (China), 26 Jun (Bernama-CMG) -- Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang menyeru semua pihak supaya bersatu padu dalam menghidupkan “Semangat Laluan Sutera” serta memperkukuh kerjasama demi manfaat bersama.

Beliau berkata usaha itu akan melakar lebih banyak pencapaian produktif, di samping menyuntik lebih banyak kestabilan dan tenaga positif kepada pembangunan serantau dan dunia.

Ding berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Ekspo China-Euroasia Ke-9 yang membuka tirai di sini pada Khamis.

Selepas meninjau tapak ekspo dan berinteraksi dengan sejumlah pempamer, Ding yang juga Ahli Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, turut mengemukakan empat cadangan bagi memperkukuh kerjasama serantau.

Cadangan pertama Naib Perdana Menteri itu ialah negara-negara perlu terus meningkatkan keserasian dan penyelarasan strategi pembangunan, memperkukuh komunikasi mengenai pelaksanaan dasar serta mencari titik persamaan dalam memenuhi keperluan, kepentingan bersama dan potensi pertumbuhan ekonomi masa depan.

Menurut Ding, cadangan kedua pula ialah terus memperluas keterbukaan dan mewujudkan ekosistem kerjasama ekonomi serta perdagangan serantau yang kondusif. 

Beliau pada masa sama turut mencadangkan agar negara-negara terbabit terus membina rangkaian kesalinghubungan yang pelbagai, cekap dan lancar bagi memudahkan pergerakan tenaga kerja, pemindahan teknologi serta aliran modal dan pembiayaan.

Cadangan keempat menurut Ding ialah terus memupuk dan memperkukuh pemacu pertumbuhan baharu serta membina rantaian industri dan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

"China akan terus menyokong pembangunan wilayah Xinjiang mengikut acuannya sendiri serta mempercepat pembinaan kawasan teras Jalur Ekonomi Laluan Sutera yang diyakini mampu memainkan peranan lebih besar dalam menggalakkan kitaran ekonomi domestik dan domestik-antarabangsa," katanya.

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan Serik Zhumangarin, Timbalan Perdana Menteri Kyrgyzstan, Akunbekov dan Timbalan Speaker Kongres Kebangsaan Pakistan Syed Ghulam Mustafa Shah yang masing-masing turut menyampaikan ucapan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan