DUNIA > BERITA

PM China, Bangladesh Bincang Perkukuh Kerjasama Dua Hala

26/06/2026 03:43 PM

BEIJING, 26 Jun (Bernama-CMG) -- China bersedia bekerjasama dengan Bangladesh untuk terus menyemarakkan semangat kejiranan berasaskan persahabatan tradisi, memupuk rasa saling percaya dan memperluas kerjasama dalam bidang substantif bagi mendorong hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri China Li Qiang berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Bangladesh, Tarique Rahman di sini pada petang Khamis.

Li berkata China bersedia bekerjasama dengan Bangladesh untuk menggalakkan pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang menekankan pembangunan berkualiti tinggi. 

China juga bersedia mengimport lebih banyak produk berkualiti dari Bangladesh serta menyokong syarikat China yang berprestij untuk melabur di negara itu bagi mengembangkan kerjasama dalam industri baharu termasuk bidang tenaga boleh baharu, ekonomi digital, kecerdasan buatan serta teknologi maklumat dan komunikasi.

“China bersedia memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dengan Bangladesh dalam menangani urusan pelbagai hala, melindungi kepentingan bersama serta menggalakkan perpaduan dan pembangunan berdikari dalam kalangan negara membangun.

“Usaha itu juga diharap dapat memberikan sumbangan lebih besar kepada pembangunan bersama negara-negara Selatan Global,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Rahman berkata Bangladesh berharap dapat mempererat pertukaran peringkat tinggi dengan China, memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan kedua-dua negara serta meningkatkan Perkongsian Strategik Komprehensif Bangladesh-China ke tahap lebih tinggi.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen kerjasama.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan