DUNIA > BERITA

Guinea Manfaatkan BRI Pacu Pembangunan Ekonomi - PM Oury Bah

29/06/2026 02:29 PM

DALIAN, 29 Jun (Bernama-CMG) -- Guinea mencatat kemajuan besar dalam sektor pembinaan infrastruktur, pertanian, perlombongan dan lain-lain hasil penyertaan negara itu dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) anjuran China.

Perdana Menteri Guinea Amadou Oury Bah berkata antara projek penting yang memberi manfaat besar kepada negara itu ialah projek bijih besi Simandou, yang bukan sahaja memacu pembangunan ekonomi Guinea, malah memainkan peranan penting dalam transformasi ekonominya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Kumpulan Media China (CMG) di sini baru-baru ini.

Oury Bah sebelum itu menghadiri Forum Davos Musim Panas 2026 yang berlangsung di Dalian dari 23 hingga 25 Jun, menghimpunkan lebih 1,700 peserta dari seluruh dunia bagi membincangkan hala tuju baharu pembangunan ekonomi global.

“Kami memerlukan lebih banyak peluang pertukaran dan pertemuan seperti ini supaya negara seperti Guinea dapat menimba pengalaman daripada pembangunan China,” katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh lebih empat dekad lalu, China menjadi contoh pembangunan di peringkat global selepas berjaya keluar daripada kemiskinan dan muncul sebagai antara kuasa utama di pentas dunia.

“Pemimpin dari pelbagai negara perlu berkumpul untuk berfikir dan berbincang mengenai hala tuju pembangunan dunia pada masa depan.

“Kita juga perlu mengubah cara berfikir dan pendekatan lama dalam mengurus pembangunan menerusi inovasi, sama ada dalam bidang pendidikan mahupun dalam aspek kehidupan harian rakyat.

“Dengan cara itu, kemajuan sains dan teknologi dapat dimanfaatkan secara lebih munasabah dan berkesan,” katanya.

Oury Bah berkata penyertaannya dalam Forum Davos Musim Panas kali ini bertujuan memperkukuh hubungan Guinea-China, selain merebut peluang pembangunan baharu bagi membolehkan negaranya terus maju seiring dengan perkembangan dunia.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan