DUNIA > BERITA

Dembele Jaringkan Hatrik, Perancis Benam Norway 4-1 Dalam Piala Dunia FIFA

27/06/2026 08:47 AM

ISTANBUL, 27 Jun (Bernama-Anadolu) -- Perancis membelasah Norway 4-1 menerusi hatrik Ousmane Dembele dalam perlawanan terakhir Kumpulan I sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Boston, Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Penyerang Paris Saint-Germain itu meletakkan Perancis di hadapan seawal babak pertama apabila menjaringkan hatrik kedua terpantas dalam sejarah Piala Dunia, hanya dalam tempoh 32 minit, di belakang rekod pemain Austria, Erich Probst pada edisi 1954.

Dembele membuka tirai jaringan pada minit ketujuh selepas menerima hantaran di luar kotak penalti sebelum melepasi kawalan pertahanan Norway dan melakukan rembatan menerjah penjuru bawah gawang.

Dia kemudian menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-20 dan ke-32. 

Hatrik itu merupakan yang ketiga dalam kejohanan tahun ini selepas Lionel Messi dari Argentina melakukannya ketika menentang Algeria dan Jonathan David dari Kanada ketika berdepan Qatar.

Norway bagaimanapun tidak berputus asa apabila Thelo Aasgaard memanfaatkan kelekaan benteng pertahanan Perancis untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-21, sejurus selepas gol kedua Dembele.

Norway berpeluang menghidupkan semula saingan apabila diberikan sepakan penalti pada minit ke-50 selepas Theo Hernandez mengasari Oscar Bobb. 

Namun, Jorgen Strand Larsen gagal menyempurnakan sepakan itu apabila percubaannya mudah diselamatkan penjaga gol Perancis.

Ketika perlawanan menghampiri penghujung, Desire Doue melengkapkan kemenangan bergaya Perancis menerusi tandukan pada masa kecederaan, minit ke-90+4.

Perancis menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan I manakala Norway di tempat kedua, dengan kedua-dua pasukan mara ke pusingan 32 terbaik.

Setakat ini, Perancis dijangka menentang Sweden manakala Norway akan berdepan Ivory Coast pada pusingan 32 terbaik.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan