KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Korea Selatan dan beberapa negara anggota ASEAN bekerjasama dalam satu inisiatif penyiaran serantau bagi menonjolkan kerjasama yang semakin berkembang dalam bidang kecerdasan buatan (AI), warisan budaya, pendidikan dan hubungan antara rakyat.
Inisiatif itu menampilkan lapan program khas yang merangkumi 12 episod, diterbitkan oleh penyiar dari tujuh negara anggota ASEAN iaitu Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam serta dirakam di pelbagai lokasi di Korea Selatan.
Menurut Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan (MCST) dalam satu kenyataan, program berkenaan disiarkan dari 13 hingga 18 Nov sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina.
Di Malaysia, kerjasama itu melibatkan sebuah dokumentari yang disiarkan menerusi program Wanita Hari Ini di TV3 pada 15 Nov lepas, yang memberi tumpuan kepada pembuatan jang (sos kacang soya yang ditapai) dan kimchi.
Episod itu menonjolkan persamaan dan nilai yang dikongsi bersama dengan “rewang”, iaitu budaya gotong-royong di Malaysia.
Segmen itu turut menampilkan Pusat Kebudayaan Korea yang baru dibuka di Kuala Lumpur.
Penyiar lain yang mengambil bahagian mengetengahkan pelbagai aspek kerjasama ASEAN-Korea Selatan, dengan program dari Thailand dan Vietnam memberi tumpuan kepada teknologi AI, manakala program dari Filipina dan Laos merangkumi topik pekerjaan bermusim dan penjagaan veteran.
Sementara itu, penyiar Indonesia dan Kemboja turut meneroka topik berkaitan makanan tradisional, warisan budaya dan nilai yang dikongsi bersama oleh masyarakat.
“Program itu bertujuan memperkenalkan Korea Selatan kepada penonton daripada pelbagai latar belakang di ASEAN menerusi sudut pandang, bahasa dan perspektif mereka sendiri, di samping menonjolkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua rantau, daripada pemulihan warisan dan biasiswa hingga pekerja bermusim dan penyelidikan AI.
“Kesemua program itu diakhiri dengan satu mesej bersama berlandaskan tema Kepengerusian ASEAN: ‘ASEAN dan Korea, mengemudi masa depan kita bersama’,” kata seorang pegawai daripada Bahagian Perhubungan Media Global kementerian itu kepada Bernama.
Korea Selatan dan ASEAN secara rasmi menjalin hubungan pada Nov 1989 apabila republik itu menjadi rakan dialog sektoral kepada blok berkenaan sebelum diberikan status rakan dialog penuh pada 1991.
Hubungan itu seterusnya ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Oktober 2024 semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25 di Vientiane, Laos.
Menurut Kementerian Luar Korea Selatan, ASEAN merupakan rakan dagang kedua terbesar republik itu dengan perdagangan dua hala mencecah US$204 bilion pada 2025, serta destinasi ketiga terbesar bagi pelaburan langsung asing Korea Selatan yang berjumlah US$9.7 bilion.
Korea Selatan berhasrat memperluas kerjasama ekonomi dengan ASEAN menerusi usaha menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA), menyokong pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) serta meneroka kerjasama dalam sektor strategik termasuk AI, penjagaan kesihatan, bandar pintar, grid tenaga dan tenaga nuklear.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial