EKONOMI > BERITA

PERDAGANGAN DUA HALA MALAYSIA, AUSTRALIA DIUNJUR CECAH A$33 BILION TAHUN INI - MENTERI AUSTRALIA

22/04/2024 02:33 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Perdagangan dua hala Malaysia dan Australia berada pada tahap "sangat sihat" dan dijangka mencecah kira-kira A$33 bilion (RM101.06 bilion) tahun ini bagi barangan dan perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Perdagangan dan Pembuatan Australia Tim Ayres.

Selain itu, katanya, pelaburan Malaysia-Australia juga dilihat sebagai "sangat kukuh", dengan firma Australia melabur dalam sektor industri Malaysia seperti dalam pusat data dan teknologi perubatan, manakala syarikat Malaysia melabur di Australia khususnya dalam sektor tenaga dan hartanah.

“Apabila Australia melihat potensi pertumbuhan di rantau ini, Malaysia menawarkan peluang terbaik untuk kami. Walaupun hubungan antara kedua-dua negara sangat kukuh kami percaya masih ada ruang untuk pertumbuhan.

‘Dari segi perdagangan, kami sangat berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi melanjutkan perdagangan dua hala.

"Kami berpendapat bahawa tugas paling sukar, yang merupakan tugas paling memberi ganjaran, adalah dari segi pelaburan, dan ini bermakna memberi tumpuan kepada keutamaan bersama bagi kedua-dua kerajaan," katanya kepada Bernama semasa lawatan kerja rasmi dua hari beliau ke Malaysia baru-baru ini.

Ayres berkata Malaysia dan Australia memiliki perjanjian perdagangan keutamaan dua hala secara langsung, yang mana kedua-dua negara merupakan anggota dalam perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Kawasan Perdagangan Bebas Asean, Australia dan New Zealand dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Tanggungjawab sekarang ialah mengubahnya menjadi pelaburan dan perdagangan yang lebih nyata, dan saya yakin kami mempunyai kerangka yang sesuai dan pemahaman mendalam mengenainya. 

“Saya begitu teruja untuk meneruskan usaha memastikan ini bertukar menjadi pelaburan baharu yang sebenar dan peluang pekerjaan dalam ekonomi Malaysia dan juga Australia,” katanya.

Ayres berkata misinya ke Malaysia, bersama delegasi para pegawai tinggi Australia menumpukan kepada agenda peralihan sifar bersih dengan potensi pelaburan yang besar dan projek bersama antara kedua-dua kerajaan untuk menumpukan pada penyahkarbonan maritim.

“Dalam bidang inilah tersedia peluang pertumbuhan yang paling kukuh,” katanya. 

Mengenai tenaga boleh baharu, beliau berkata Australia sangat bertuah kerana negara itu bergantung kepada sumber arang batu dan gas yang murah sebagai tenaga kos rendah untuk ekonomi perindustriannya, dan ia juga telah mengeksport sumber tersebut ke rantau ini, termasuk Malaysia.

“Ini bermakna kami mempunyai keupayaan dalam sektor mineral dan sektor tenaga untuk melaksanakan peralihan kepada sifar bersih, dengan Australia mempunyai rizab sumber angin dan solar yang sangat banyak, terbaik di dunia, pada pandangan kami.

“Kami sangat berminat bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan komuniti perniagaan di sini untuk memastikan penetapan pelaburan adalah betul, supaya industri Australia boleh datang ke sini dan menyokong tenaga kos rendah untuk industri dan isi rumah Malaysia,” katanya.

Semasa lawatan rasminya, Ayres diiringi oleh delegasi pertukaran perniagaan merangkumi 23 perniagaan terkemuka Australia dalam sektor maritim, penyahkarbonan dan tenaga boleh baharu.

Beliau melawat Cochlear Malaysia Sdn Bhd di Kuala Lumpur pada Khamis dan pengendali pusat data AirTrunk di Johor pada Jumaat.

Kira-kira 20 perniagaan Australia juga sedang mencari peluang untuk melabur dalam penyahkarbonan maritim.

Pada 2023, perdagangan dua hala Malaysia dan Australia berjumlah kira-kira A$27 bilion (RM83.7 bilion) (barangan sahaja), mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang Asean kedua terbesar bagi Australia.

Di peringkat global, Malaysia ialah rakan dagang ke-10 terbesar Australia.

Mengenai strategi ekonomi Australia bagi Asia Tenggara sehingga 2040 dengan rantau ini menjadi teras kepada wawasan negara itu, beliau berkata Australia telah mewujudkan kemudahan pembiayaan pelaburan A$2 bilion bagi rantau ini untuk memperluaskan keupayaan pembiayaan eksport Australia.

“Perkara itu untuk menyokong pelabur Australia yang bekerjasama dengan pelabur di Malaysia untuk membina keupayaan perindustrian baharu, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu.

“Kami membangunkan Program Pertukaran Perniagaan Asia Tenggara supaya ahli perniagaan terkemuka Australia datang ke rantau ini, membina hubungan dan persefahaman serta mendengar dengan teliti mengenai peluang daripada komuniti perniagaan Asia Tenggara,” katanya.

Nilai potensi perdagangan dua hala antara Australia dan Asia Tenggara pada 2040 ialah A$534 bilion.

Malaysia ialah antara negara Asean pertama yang dilawati oleh delegasi Australia itu selain Singapura sebagai cara untuk melonjakkan perdagangan dengan Asia Tenggara susulan Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2024 yang berakhir pada 6 Mac di Melbourne.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan