EKONOMI > BERITA

OCI HOLDINGS BERPANGKALAN DI KOREA SELATAN BUKA IBU PEJABAT SERANTAU DI MALAYSIA

21/04/2024 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Syarikat tenaga dan kimia yang berpangkalan di Korea Selatan, OCI Holdings mengumumkan pembukaan rasmi ibu pejabat serantau di sini, menandakan satu pencapaian penting dalam komitmennya untuk memperluas kehadiran di rantau ini.

Pengerusi OCI Holdings Lee Woo Hyun berkata pejabat baharu OCI M Sdn Bhd terletak di hab ekonomi yang berkembang maju di Asia Tenggara dan akan berfungsi sebagai pusat penting bagi operasi syarikat, memudahkan kerjasama lebih erat dengan pihak berkepentingan, rakan kongsi dan pelanggan di seluruh rantau ini.

“Kami gembira untuk memulakan operasi ibu pejabat serantau kami di Kuala Lumpur, sebuah bandar aktif, terkenal dengan persekitaran perniagaan yang dinamik dan lokasi yang strategik.

“Pencapaian ini menegaskan lagi komitmen untuk memperkukuh kedudukan kami di rantau ini dan mengeratkan perkongsian dengan pihak berkepentingan dan pelanggan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ibu pejabat serantau itu di sini, pada Ahad.

Perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul mahu OCI M menyokong permintaan tempatan dalam tempoh terdekat memandangkan Malaysia sedang bergerak aktif dalam rantaian nilai semikonduktor peringkat awal dan sektor hijau seperti pembangunan kenderaan elektrik dan tenaga boleh baharu.

Beliau berkata terdapat banyak syarikat Korea Selatan lain yang bekerjasama dengan negara ini dalam penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang memerlukan produk dan perkhidmatan teknologi canggih.

“Saya yakin kini anda (OCI) mempunyai pangkalan pembuatan yang kukuh di Malaysia, menjadi pengeksport global produk kimia. Saya gembira kerana anda membuat keputusan untuk mempunyai pejabat serantau atau ibu pejabat anda di Kuala Lumpur, yang merupakan satu langkah besar untuk lebih maju,” katanya.

Beliau berkata ibu pejabat itu akan menyatukan fungsi perkhidmatan OCI di Jepun, China, Filipina dan Malaysia dari segi penetapan belanjawan kewangan, pembangunan rancangan perniagaan dan mengenal pasti inisiatif pelaburan bagi pertumbuhan baharu.

Ibu pejabat itu juga akan menguruskan dan menyokong rangkaian kumpulan anak syarikat OCI dan sekutu merentas pelbagai negara, dan terlibat dalam usaha pelaburan bahan kimia dan bahan pembuatan bukan sahaja di Asia Tenggara malah juga seluruh dunia, katanya.

Tengku Zafrul berkata langkah OCI itu mengesahkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan asing dan membuktikan keyakinan syarikat global terhadap ekonomi, infrastruktur dan tenaga kerja mahir negara.

“Ini menunjukkan keupayaan negara kita menyediakan persekitaran yang kondusif untuk syarikat berkembang maju, berinovasi dan mengembangkan operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata pembukaan ibu pejabat serantau itu mengesahkan visi jangka masa panjang dan komitmen OCI untuk memacu pertumbuhan mampan dan kemakmuran di rantau ini.

Menerusi langkah memanfaatkan kumpulan tenaga kerja dan peluang perniagaan yang pelbagai di Malaysia, OCI M menyasar untuk meningkatkan lagi kedudukannya sebagai peserta terkemuka dalam sektor tenaga dan kimia, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan