EKONOMI > BERITA

CGS MY DIJENAMAKAN SEMULA, SASAR RAIH HASIL LEBIH RM300 JUTA MENJELANG 2027

23/04/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia (CGS MY), kini dijenamakan semula sebagai CGS International Securities Malaysia, menampilkan penawaran baharu serta  menyasarkan untuk meraih hasil sebanyak RM300 juta menjelang 2027.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  Alan Inn Wei Loon berkata penyedia perkhidmatan kewangan terintegrasi itu memperoleh pendapatan sebanyak RM250 juta pada 2023.

"Sumber pendapatan kami kini agak pelbagai iaitu daripada pembiayaan, produk berstruktur, dan akan datang daripada perbankan pelaburan atau kewangan korporat.

"Sasaran kami untuk Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) adalah sekitar 15 peratus hingga 20 peratus untuk tiga hingga lima tahun akan datang," katanya dalam sidang media selepas pelancaran semula jenama CGS MY pada hari ini.

Penjenamaan semula itu adalah rentetan daripada pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam CGS-CIMB Securities (Malaysia) oleh China Galaxy Securities (CGS) pada 29 Disember 2023.

Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan rangkaian CGS International Securities Pte Ltd (CGS International) di China dan ASEAN, khususnya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, serta menyediakan CGS MY hubungan yang lebih baik dengan pelanggan serantau dan peluang pelaburan.

Alan Inn berkata CGS MY ialah penyumbang kedua terbesar dari segi hasil kepada kumpulan CGS International di rantau ini dan juga nombor satu dari segi kedudukan pasaran di Bursa Malaysia.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Azizah Mohd Yatim berkata berikutan penjenamaan semula itu, CGS MY dalam perancangan untuk mengembangkan perniagaan ekuiti persendirian dan modal terokanya.

“Dengan memanfaatkan keupayaan seluruh kumpulan, kami akan dapat mengubah CGS MY menjadi pemain yang hebat dalam sektor perkhidmatan kewangan yang berdaya saing tinggi.

“Pada masa yang sama, kami giat berusaha untuk memanfaatkan keupayaan digital kami bagi mendemokrasikan akses kepada produk pelaburan, terutamanya untuk segmen pelanggan runcit,” katanya.

CGS MY mempunyai lebih 15 juta pelanggan di seluruh dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan