EKONOMI > BERITA

LABUAN IBFC GARISKAN ENAM INISIATIF BAGI KEKALKAN MOMENTUM PERTUMBUHAN 2024

26/04/2024 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Hab kewangan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) menggariskan enam inisiatif strategik yang bertujuan mengemudi trajektori pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa kewangan global pada 2024.

Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Nik Mohamed Din Nik Musa berkata inisiatif ini penting dalam merangka hala tuju Labuan IBFC ketika Pelan Hala Tuju Strategik Lima tahunnya (2022-2026) memasuki tahun ketiga.

“Pada teras strategi kami terletaknya visi untuk mewujudkan Labuan IBFC sebagai mercu tanda kewangan antarabangsa, dengan tumpuan tersendiri pada kewangan Islam, kaptif, pejabat keluarga dan perusahaan digital, semuanya menyumbang secara signifikan kepada negara dan Labuan,” katanya ketika melancarkan Laporan Pasaran Labuan IBFC 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif yang pertama ialah menekankan komitmen Labuan IBFC terhadap kemampanan dan peranannya sebagai pusat kewangan global, terutamanya dalam sektor-sektor khusus seperti kewangan Islam dan perniagaan digital.

Nik Mohamed Din menekankan inisiatif kedua pula membabitkan persediaan rapi untuk Penilaian Bersama Pusingan Kelima Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) yang dijadualkan pada 2024/25, menekankan dedikasi Labuan IBFC yang tidak berbelah bagi terhadap pematuhan peraturan dan integriti.

Beliau berkata dalam usaha mengukuhkan rangka kerja kawal selianya, Labuan IBFC menyasarkan untuk meningkatkan peraturan berhemat bagi institusi kewangan Islam dan perkhidmatan kewangan digital, menyelaraskannya mengikut piawaian antarabangsa dan melaksanakan pelan penyeliaan yang mantap.

“Selain itu, langkah keselamatan siber yang ketat dan penambahbaikan kepada sistem Cor@l (pendaftaran syarikat) merupakan inti pati bagi inisiatif keempat, bertujuan untuk memperkukuh keselamatan dan integriti infrastruktur operasi Labuan IBFC,” katanya.

Nik Mohamed Din juga menekankan kepentingan memupuk ekosistem modal insan yang berkembang maju dalam Labuan IBFC, menekankan penanaman budaya berprestasi tinggi, pengekalan bakat, dan kecekapan operasi sebagai pemacu utama pertumbuhan mampan.

“Akhir sekali, Labuan IBFC bersedia untuk memperkenalkan langkah-langkah kemampanan kepada industri, termasuk pengeluaran taksonomi kemampanan dan semakan dasar untuk memastikan pertimbangan alam sekitar dan sosial disepadukan ke dalam operasinya,” kata beliau.

Walaupun landskap ekonomi global berdepan ketidaktentuan dan risiko geopolitik, Nik Mohamed Din kekal optimistik tentang prospek Labuan IBFC, yang mana beliau merujuk kepada potensi kerjasama dengan agensi-agensi domestik untuk memacu inovasi dan memanfaatkan kekuatan unik Labuan IBFC.

Selain itu, beliau berkata Labuan IBFC disasarkan untuk muncul sebagai hab Asia bagi kewangan Islam dalam aplikasi blockchain, meningkatkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang kewangan digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan