EKONOMI > BERITA

PULAU PINANG UMUM PELABURAN BERTEKNOLOGI TINGGI ESOK - CHOW

26/04/2024 11:01 PM

GEORGE TOWN, 26 April (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow kini dalam proses perbincangan dengan sekumpulan syarikat yang turut mengambil bahagian dalam taman reka bentuk litar bersepadu (IC) Selangor, baru-baru ini.

Susulan itu, syarikat berkenaan dijangka mengumumkan rancangan perniagaan mereka di Pulau Pinang dalam satu sidang media bersama Chow, esok.

“Kumpulan sama yang ke Selangor (sebelum ini) turut berbincang dengan pihak kami dan mereka akan mengumumkan beberapa pelaburan esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara Pameran Audio Visual Antarabangsa wilayah Utara Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Chow berkata walaupun Pulau Pinang tidak mempunyai sebuah taman reka bentuk IC yang khusus, ini bukan bermakna tiada syarikat berkaitan yang beroperasi di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau berkata pameran audio visual itu menjadi detik bermakna dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah metropolis dinamik dan ke arah kemajuan, seiring dengan visi yang digariskan dalam Penang2030.

Malah, katanya, Pulau Pinang juga telah lama menyasarkan usaha bagi memupuk ekosistem yang menggalakkan industri kreatif dan perkhidmatan perniagaan yang khusus.

Bersandarkan dedikasi sedemikian, Chow berkata Pulau Pinang akan melalui transformasi sebagai sebuah pusat global bagi teknologi, inovasi, dan industri kreatif menjelang 2030.

“Acara ini dijangka mengetengahkan lebih daripada 40 pameran unik oleh kalangan pempamer antarabangsa dari Singapura, Lithuania, Kanada, Taiwan, Thailand, Denmark, Australia, Amerika Syarikat serta tempatan dari luar Pulau Pinang.

“Selain menarik kehadiran kira-kira 7,500 pengunjung, acara ini akan turut menjana impak ekonomi bernilai RM13.49 juta sepanjang tempoh tiga hari penganjurannya,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan