EKONOMI > BERITA

KETELUSAN, AKAUNTABILITI PELAPORAN ESG TINGKAT KREDIBILITI SYARIKAT PERLADANGAN

05/05/2024 03:36 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Syarikat perladangan Malaysia harus meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaporan berkaitan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi mengukuhkan lagi kredibiliti mereka, kata seorang ahli akademik.

Profesor Madya Dr Seri Ayu Masuri Md Daud dari Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata bahawa penyelidikan pasukannya mengenai ketelusan terhadap alam sekitar dalam industri perladangan mendapati walaupun syarikat perladangan menunjukkan kebimbangan mereka terhadap alam sekitar, namun kebanyakan pelaporan daripada syarikat berkaitan hanya bertumpu kepada pernyataan visi dan inisiatif umum alam sekitar.

“Pelaporan seperti ini selalunya tidak mempunyai maklumat mendalam yang diperlukan bagi  memberikan pemahaman yang jelas kepada pihak berkepentingan tentang kesan alam sekitar dan amalan pengurusan syarikat,” katanya kepada Bernama.

Pada pandangan beliau, cabaran dan kritikan yang paling ketara terhadap amalan ESG semasa termasuk ‘acah hijau’ atau tindakan memanipulasi maklumat sesebuah syarikat yang mendakwa ia mesra alam sekitar dan jurang aspirasi syarikat dengan pencapaian sebenar.

“Satu kebimbangan utama ialah jurang yang dilihat antara aspirasi syarikat dan prestasi sebenar mereka berkaitan amalan ESG. Fenomena ini, yang sering dipanggil 'acah hijau', bukan sahaja menghakis kepercayaan pihak berkepentingan tetapi juga menjejaskan kredibiliti usaha ESG.

"Pelabur institusi, khususnya, kini berhati-hati dengan fenomena sedemikian, justeru menekankan keperluan untuk ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi," kata Seri Ayu Masuri, yang juga ahli Kluster Bakat Kelestarian dan Tadbir Urus universiti itu.

Beliau berkata bagi menangani isu berkenaan, peraturan yang lebih tegas harus diwujudkan untuk memerangi kedua-dua korporat dan pelabur institusi yang bersifat ‘acah hijau’ daripada mengelirukan pihak berkepentingan dengan melabel dana sebagai patuh ESG sedangkan mereka sebenarnya gagal mematuhi prinsip itu.

Ketidakseragaman piawaian pelaporan ESG menambahkan lagi masalah kerana syarikat dan pelabur sering mengukur dan melaporkan metrik yang berbeza dalam pelbagai cara, membawa kepada pelaporan yang tidak konsisten, katanya.

“Ini menghalang keupayaan untuk menilai dan membandingkan prestasi ESG dengan tepat merentas syarikat dan industri,” kata Seri Ayu Masuri, sambil menambah bahawa penyelidikannya telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa pada 2023.

Profesor Madya itu turut menekankan peranan dasar kerajaan dan peraturan antarabangsa dalam membentuk amalan ESG peringkat global.

Walaupun pelaporan kemampanan bersifat sukarela di banyak negara, keperluan untuk pelaporan mandatori semakin meningkat untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti, katanya.

Sehubungan dengan itu, penyelidik mencadangkan beberapa langkah utama untuk meningkatkan keberkesanan dan integriti amalan ESG dalam industri.

“Adalah disyorkan agar pengawal selia memberi tumpuan bukan sahaja pada jumlah pendedahan ESG tetapi juga pada peningkatan kualiti mereka. Terdapat keperluan mendesak untuk pelaporan yang lebih substantif yang boleh menawarkan cerapan sebenar tentang aktiviti dan prestasi ESG syarikat.

“Ketelusan dan akauntabiliti diperlukan, serta pendedahan yang lebih substantif adalah penting untuk meningkatkan ketelusan dan mengurangkan asimetri maklumat antara pihak berkepentingan dan pengurusan. Pelaporan yang benar, disokong oleh tindakan dan hasil konkrit, adalah penting untuk membina kepercayaan dan kredibiliti dalam amalan ESG,” katanya.

 Seri Ayu membuat kesimpulan bahawa untuk mengatasi kelemahan amalan ESG semasa dan memastikan ia benar-benar mencerminkan penjagaan alam sekitar syarikat, usaha bersepadu daripada pengawal selia, syarikat dan pelabur adalah amat diperlukan.

“Dengan menggalakkan penyeragaman, ketelusan dan akauntabiliti, saya percaya bahawa rangka kerja pelaporan dan pelaksanaan ESG yang lebih teguh dan boleh dipercayai untuk syarikat-syarikat ini boleh diwujudkan, sekali gus mewujudkan pelaporan ESG yang lebih telus dan wajar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan